KUALA LUMPUR: Adalah tidak wajar untuk mengekalkan kadar Rancangan Makanan Tambahan (RMT) sebanyak RM2.50 sekepala, di saat negara dihimpit dengan kenaikan harga barang, kata bekas Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik.

Ahli Parlimen Simpang Renggam itu berkata, berdasarkan keadaan semasa, ia perlu dinaikkan kepada kadar yang berpatutan iaitu RM4.

Sekiranya kadar itu tidak dinaikkan, Maszlee berkata, beliau khuatir ia akan menjejaskan kualiti makanan untuk murid-murid penerima, dan pada masa yang sama terus memberi tekanan kepada pengusaha kantin yang terlibat.

“Saya ingin merujuk kepada pembentangan oleh Kubang Pasu tadi, saya setuju kadar RMT perlu dinaik dari RM2.50 kepada RM4 berdasarkan keadaan barang-barang basah semasa semakin mahal. Kalau kekalkan kadar lama, ia akan sama ada jejas kualiti makanan, atau jejaskan pengusaha kantin. Maka dicadangkan dinaikkan kadar tersebut.

“Begitu juga saya konsisten, dan ingin menyeru agar program Sarapan Pagi Percuma dilaksanakan, tetapi terdapat keengganan kerajaan dan pihak KPM. Tak apa lah, kita beralih kepada langkah lain, iaitu RMT perlu diperluaskan lagi. Bukan hanya B40, tetapi diperluas kepada sehingga M40 yang memerlukan,” katanya lagi.

Maszlee berkata demikian sewaktu membahaskan Rang Undang-Undang Pembekalan (Bajet) 2022 peringkat jawatankuasa untuk Kementerian Pendidikan.

Dalam pada itu, beliau berkata, KPM perlu menerangkan semula status Pelan Pembangunan Pendidikan Inklusif Bagi Golongan Kurang Upaya 2020-25 yang pernah diusahakan 2019.

“Pelan itu mencakupi pendidikan dari awal pra-sekolah sehingga tertiary. Semua sekolah rendah dan sekolah menengah harian berapakan jumlah peruntukan yang disediakan untuk pembangunan infrastruktur agar sekolah mesra OKU.

“Dan bagaimana pula peruntukan untuk Sekolah Berasrama Penuh, Sekolah Agama, Sekolah Berkeperluan Khas, dan Kolej Vokasional agar semua institusi ini mesra OKU? Kita juga ingin bertanya mengapa pendidikan OKU kini dipandang sepi, jarang jadi agenda besar KPM,” katanya lagi.