KUALA LUMPUR: Persatuan perniagaan termasuk pengusaha restoran membantah tindakan FOMEMA Sdn Bhd (FOMEMA) menaikkan kadar yuran dan kekerapan pemeriksaan perubatan pekerja asing kerana keputusan itu dibuat tanpa sebarang perbincangan dengan pihak berkepentingan.

Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA), Persatuan Pengusaha Restoran India Malaysia (PRIMAS), Persekutuan Persatuan Perniagaan Malaysia (FMBA) serta Dewan Perniagaan dan Industri India Muslim Malaysia (MIMCOIN) dalam kenyataan sama memaklumkan, pihak persatuan hanya mengetahui kenaikan yuran kesihatan setiap tahun untuk pekerja apabila melawati laman sesawang FOMEMA.

"Soalannya, apakah rasionalisi di sebalik keputusan tersebut? Pihak persatuan perniagaan juga rasa terkilan kerana sehingga kini, tiada pengumuman rasmi daripada pihak berkuasa kerajaan yang berkaitan berhubung kenaikan yang dibuat oleh FOMEMA yang telah berkuat kuasa mulai 16 Dis tahun lepas.

"Sebelum ini, pekerja asing perlu membuat pemeriksaan kesihatan sehingga tiga tahun secara berterusan dan tidak perlu melakukan sebarang pemeriksaan kesihatan sehingga tujuh tahun. Ia kemudian ditukar kepada setiap tahun secara berselang-seli, bermaksud jika tahun ini sudah buat, tahun depan tidak perlu tetapi kini FOMEMA menukar pula kepada setiap tahun.

"FOMEMA juga secara unilateral menaikkan yuran sebanyak 10 peratus kepada 14 peratus dan dengan kira-kira dua juta pekerja asing, majikan perlu menanggung kos kira-kira RM414 juta setahun untuk pemeriksaan perubatan FOMEMA bagi pekerja asing," menurut kenyataan itu.

Justeru, persatuan perniagaan menggesa pihak berkaitan mengadakan perbincangan atau konsultasi terlebih dahulu dengan pemegang taruh sebelum membuat sebarang keputusan atau perubahan.

"Kami membantah keputusan tersebut dan menyeru FOMEMA mengekalkan yuran dan kekerapan pemeriksaan kesihatan untuk pekerja asing seperti dahulu," menurut kenyataan itu.

Kenyataan sama turut menjelaskan bahawa yuran pemeriksaan perubatan pekerja asing yang dicaj oleh FOMEMA ialah RM190 bagi lelaki dan RM207 untuk wanita meliputi saringan HIV, Hepatitis B, sifilis dan kehamilan termasuk penggunaan opiat serta kanabis.

"Yuran kemudian dinaikkan kepada RM207 bagi lelaki dan RM217 bagi perempuan serta diperluas kepada tiga kategori baharu iaitu filariasis (cacing gelang), Hepatitis C dan metamfetamina.

"Kami difahamkan bahawa negara seperti Emiriah Arab Bersatu dan Singapura yang mempunyai ramai pekerja asing tidak mengamalkan perkara seperti ini, ujian saringan kesihatan di kedua-dua negara adalah dua tahun sekali. Kami juga ingin menyeru FOMEMA mengkaji semula perkara ini.

"Satu salinan laporan ujian kesihatan juga sepatutnya perlu diberikan kepada majikan supaya majikan boleh simpan untuk rujukan. Pada masa ini, FOMEMA tidak memberikan salinan laporan ujian baik kepada pekerja mahupun majikan," katanya. - BERNAMA