KUALA LUMPUR: Isteri Allahyarham Tun Daim Zainuddin, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid menganggap dakwaan bahawa beliau adalah dalang di sebalik laporan penyiasatan Bloomberg berhubung pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki, adalah tidak masuk akal.
Dalam satu kenyataan pada Jumaat, Na’imah berkata, walaupun berasa ‘terhibur’, tetapi beliau enggan mengambil kredit daripada wartawan sebenar yang menggunakan kemahiran dan bakat mereka untuk membongkar pendedahan mengejutkan berkaitan Azam.
Advertisement
Malah, tegasnya lagi, sebarang percubaan untuk mengaitkan beliau dengan laporan itu bukan sahaja tidak bertanggungjawab, tetapi turut menghina para wartawan terbabit.
“Dengan menggunakan agensi penguatkuasaan dalam keadaan berkepentingan politik, kerajaan hanya mengesahkan inti pati utama laporan Bloomberg: bahawa institusi sedang dijadikan senjata.
“Akhir sekali, adalah tidak masuk akal untuk mencadangkan bahawa usaha membangkitkan isu rasuah dan penyalahgunaan kuasa di peringkat tertinggi kerajaan merupakan cubaan menjatuhkan kerajaan.
"Saya akan mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya terhadap tuduhan palsu dan fitnah ini,” katanya lagi.
Media sebelum ini melaporkan, lima individu termasuk empat anak Daim serta seorang tokoh yang digelar “individu berpengaruh”, didakwa terlibat dalam satu plot untuk menjatuhkan Kerajaan.
Dakwaan itu muncul selepas polis mengesahkan satu siasatan melibatkan “agensi media antarabangsa” dan “individu berpengaruh”, ketika laporan Bloomberg mengenai penyalahgunaan kuasa dalam SPRM mencetuskan reaksi politik yang besar.
Dalam masa yang sama, SPRM dalam satu kenyataan berkata, ia sedang menjejaki empat anak bekas Menteri Kewangan itu, iaitu Asnida, Md Wira Dani, Muhammed Amir dan Muhammed Amin, bagi membantu siasatan berprofil tinggi yang sedang dijalankan.
Azam sebelum in itelah memfailkan saman fitnah bernilai RM100 juta terhadap Bloomberg berhubung laporan yang mendakwa beliau memiliki 17.7 juta saham dalam sebuah syarikat tersenarai, melebihi had yang dibenarkan kepada penjawat awam, serta gagal mengisytiharkan aset.
Azam menafikan dakwaan tersebut dan menegaskan semua transaksi telah diisytiharkan mengikut peraturan, malah telah dilupuskan sebelum artikel Bloomberg diterbitkan.
Beliau turut memohon injunksi bagi menghalang dakwaan itu daripada diterbitkan semula.
Sementara itu Na’imah menyifatkan laporan polis terhadapnya sebagai tidak berasas, mengarut, dan dibuat oleh seorang individu yang pernah menawarkan diri menyertai pasukan komunikasinya pada Julai 2025 namun ditamatkan perkhidmatan akibat prestasi kerja yang lemah.
Beliau berkata, individu itu turut membuat tuntutan kewangan tambahan yang tidak munasabah, sekali gus menggambarkan tindakan seorang yang tidak berpuas hati.
“Bukan sahaja kandungan laporan polis itu palsu dan mengarut, tetapi masa ia dibuat, iaitu tujuh bulan selepas pertemuan yang didakwa dan ketika kerajaan Perdana Menteri Anwar Ibrahim berdepan salah satu skandal terbesar …
“… jelas menunjukkan usaha terdesak untuk mengalihkan perhatian daripada desakan agar Perdana Menteri menggugurkan individu yang beliau lantik, bukan sekali, bukan dua kali, tetapi tiga kali, untuk mengetuai SPRM.
“Artikel pertama oleh Bloomberg mengenai penyalahgunaan kuasa dalam SPRM oleh Perdana Menteri dan Azam Baki pada September 2024 adalah jauh lebih awal daripada pertemuan yang didakwa dalam laporan polis tersebut, iaitu lebih 12 bulan sebelumnya,” katanya lagi.
Na’imah menyoal kembali, jenis konspirasi apakah yang boleh didakwa melibatkan dirinya sedangkan beliau telah lama membongkar penyalahgunaan kuasa berkaitan SPRM dan Anwar sebelum dakwaan itu timbul.
Tambahnya lagi, dakwaan bahawa beliau cuba menggugat atau menjatuhkan kerajaan adalah melucukan dan mengingatkannya kepada tuduhan “merampas kerajaan” yang pernah digunakan oleh Perdana Menteri sendiri ketika beliau menggunakan slogan itu.
“Tidak seperti beliau, saya tidak pernah terlibat, merancang, atau menyokong sebarang usaha untuk mengganggu kestabilan atau menjatuhkan kerajaan.
“Tambahan pula, bagaimana seseorang boleh menjatuhkan kerajaan dengan bantuan media antarabangsa, atau sebuah firma perhubungan awam? Jika itu benar, sudah tentu berulang kali kerajaan Malaysia sebelum ini telah tumbang sepanjang sejarah.
“Sejak bila mendapatkan nasihat profesional perhubungan awam menjadi satu jenayah, sedangkan kerajaan sendiri pernah membayar berjuta-juta ringgit kepada individu yang sarat dengan skandal dan masih mendapat sokongan penuh Perdana Menteri?” soalnya lagi.
Na’imah berkata, pendedahan terbaru oleh Bloomberg hanya mengukuhkan ketidakpercayaan rakyat terhadap dakwaan Perdana Menteri kononnya memerangi rasuah.
Sebaliknya, dakwa beliau lagi, ia menunjukkan keterikatan kuasa politik, kepentingan korporat, institusi penguatkuasaan, dan kini, mengejutkan sekali, mafia korporat.