"Boss (Datuk Seri Najib Tun Razak) will bulldoze, don't worry," kata ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low berhubung surat sokongan usahasama 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan Aabar Investment PJS (Aabar).

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, 49, ketika membacakan penyataan saksinya di Mahkamah Tinggi pada Isnin berkata beliau ada mempersoalkan kepada Jho Low sama ada pihak Kementerian Kewangan boleh mengeluarkan surat sokongan itu dalam masa yang amat singkat.

"Namun, Jho Low telah memberitahu saya bahawa 'boss will bulldoze, don't worry', bermaksud yang Datuk Seri Najib akan memastikan yang surat sokongan ini akan dikeluarkan dalam masa tercepat.

"Jadi saya yakin dan percaya dengan apa yang Jho Low beritahu sebab ia sejajar dengan apa yang berlaku. Semuanya diatur dan sememangnya berlaku bahawa Datuk Seri Najib mahu ia disegerakan," katanya.

Shahrol Azral berkata surat sokongan itu berhubung sokongan kewangan daripada pihak Kementerian Kewangan bagi suntikan sebanyak USD3 bilion ke dalam usahasama antara 1MDB dan Aabar.

"Disebabkan itulah, Datuk Seri Najib membuat catatan minit untuk tindakan Kementerian Kewangan sekaligus mengeluarkan surat sokongan bagi menjamin terbitan Bon USD3 bilion.

Nilai USD6 bilion ini ditetapkan oleh Jho Low secara usahasama 50:50 iaitu 1MDB perlu menyuntik separuh daripada nilai usahasama iaitu USD3 bilion.

"Pada hari yang sama saya tandatangani surat bertajuk '1MDB - Abu Dhabi and Malaysia USD6 Billion Strategic Acquisition Fund Between 1MDB and Aabar", Datuk Seri Najib terus minit kepada Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP) ketika itu supaya mengambil tindakan segera.

"Ia jelas menunjukkan Datuk Seri Najib mahu hal ini diuruskan dengan segera memandangkan selepas sahaja saya tandatangan, beliau terus meminitkan kepada KSP," katanya.

Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan empat kesalahan rasuah di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini antara 24 Feb, 2011 dan 19 Dis, 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan wang haram antara 22 Mac, 2013 dan 30 Ogos 2013, di tempat sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung hari ini.

-- BERNAMA