KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak membelanjakan RM80,000 pada 2013 untuk suplemen atau makanan tambahan dan vitamin bagi pencegahan kanser, khususnya leukemia, daripada wang derma yang didakwa diterima daripada kerabat diraja Arab Saudi.

Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram ACP Foo Wei Min mengesahkan perkara itu ketika disoal peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mengenai pembayaran RM80,000 daripada akaun peribadi Najib di AmIslamic yang berakhir dengan 694 kepada entiti dikenali sebagai Vital Spire Sdn Bhd, yang bekas perdana menteri berkata ia adalah untuk rawatan kanser darah seperti yang disyorkan oleh doktor.

Muhammad Shafee menyoal saksi pendakwaan ke-48 itu mengenai kenyataan di bawah Seksyen 32 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001, yang dirakamnya (Foo) daripada Najib semasa disoal siasat pada 27 Ogos, 2018.

Peguam itu kemudiannya membacakan petikan kenyataan Najib kepada Foo, termasuk dakwaan Najib bahawa makanan tambahan itu adalah untuk kesihatannya dan sebagai langkah pencegahan selepas bapanya, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, Perdana Menteri kedua, meninggal dunia akibat leukemia.

Dalam kenyataan itu, Najib juga berkata sebagai perdana menteri, beliau bimbang mengenai hal berkenaan dan jika beliau mempunyai situasi yang sama seperti Allahyarham Tun Razak, beliau tidak akan dapat mentadbir negara, jadi beliau mahu mencegahnya (leukemia).

Muhammad Shafee: Adakah kamu ingat, Najib memberitahu kamu bahawa jumlah kos untuk ubat itu adalah kira-kira RM1 juta atau kurang dan beliau boleh mengambil rawatan ini daripada kerajaan, tetapi beliau tidak mahu membebankan kerajaan, jadi beliau mengambilnya daripada wang yang dianggap sebagai derma. Adakah kamu ingat?

Foo: Saya rasa beliau ada menyebutnya.

Terdahulu, saksi itu mengesahkan transaksi lain seperti pembayaran RM9 juta kepada Zeal Hi-Tech Solutions Sdn Bhd untuk beg cenderahati dan cenderahati untuk ahli UMNO, RM9 juta kepada peruncit tekstil Jakel Trading untuk program amal di Pekan, Pahang, dan jubah untuk ahli jawatankuasa masjid di seluruh Malaysia, beberapa bayaran kepada komponen parti politik termasuk Badan Perhubungan MCA Pahang dan Barisan Nasional (BN) Selangor serta bantuan kebajikan RM200,000 kepada Kolej Islam Sultan Alam Shah (KISAS).

Muhammad Shafee berkata beliau akan terus menyoal saksi mengenai beberapa lagi transaksi minggu depan tetapi mencadangkan kepada Foo bahawa tuduhan 'Najib adalah kleptokrat' adalah salah selepas melihat kepada perbelanjaan yang dilakukan Najib adalah untuk tanggungjawab sosial dan korporat (CSR) dan bukan untuk kepentingan peribadi

Foo berkata beliau tidak boleh mengulas mengenai perkara itu kerana beliau hanya menumpukan pada siasatan, seperti yang dilakukan oleh pegawai penyiasat kes itu.

Najib, 70, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung pada 14 Nov.

-- BERNAMA