PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Tun Razak, yang kini sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun kerana rasuah, dibenarkan hadir ke mahkamah minggu depan untuk pendengaran rayuannya berhubung saman RM1.9 juta terhadap bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas atas dakwaan salah guna jawatan awam.

Rayuan bekas perdana menteri itu ditetapkan pada 4 Okt di Mahkamah Rayuan. Najib mahu mengembalikan semula samannya yang telah dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi.

Dalam prosiding ringkas dalam talian hari ini, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Datuk S. Nantha Balan, Datuk Azimah Omar dan Mohamed Zaini Mazlan membenarkan permohonan ex-parte Najib untuk mengeluarkan perintah mengemukakan (OTP) Najib dari penjara bagi menghadiri prosiding rayuannya.

Ini selepas peguam Daniel Annamalai memohon OTP dikeluarkan atas alasan prosiding rayuan itu akan diadakan secara fizikal.

Pada 25 Nov tahun lepas, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Thomas untuk membatalkan saman Najib terhadapnya yang mendorong Najib memfailkan notis rayuan pada 22 Dis.

Dalam samannya, Najib mendakwa beliau telah dituduh melakukan rasuah dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), International Petroleum Investment Company (IPIC), salah guna kuasa di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan pengubahan wang haram di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).

Thomas adalah Peguam Negara dari 4 Jun 2018, hingga 28 Feb 2020.

Dalam saman yang difailkan pada 22 Okt 2021, Najib berkata pertuduhan terhadapnya adalah sebahagian daripada langkah yang telah dirancang lebih awal oleh Thomas dan ia juga selaras dengan rancangan kerajaan Pakatan Harapan ketika itu.

Beliau memohon pengisytiharan bahawa Thomas telah melakukan penyelewengan dalam jawatan awam serta menuntut ganti rugi sebanyak RM1.9 juta, termasuk yuran rundingan untuk pasukan audit menyemak dokumentasi bagi penyediaan fakta bagi menangani pendakwaan terhadapnya.

-- BERNAMA