KUALA LUMPUR: Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor hari ini menzahirkan rasa simpati di atas keputusan rayuan akhir Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak yang mengekalkan keputusan bersalah terhadapnya membabitkan penyelewengan Dana SRC International Sdn Bhd oleh Mahkamah Persekutuan pada Selasa.

Menurut Pengerusinya, Tan Sri Noh Omar, meskipun dukacita dengan keputusan terbabit, UMNO Selangor tetap menghormati keputusan mahkamah itu.

"Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor menzahirkan rasa simpati atas keputusan perbicaraan YB Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak yang dibuat oleh Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos 2022.

"Datuk Seri Mohd Najib adalah bekas Presiden dan Perdana Menteri Malaysia, beliau juga pernah menjadi Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Selangor daripada tahun 2009 hingga 2013.

"Walaupun negeri Selangor tidak ditadbir oleh BN, namun banyak peruntukan pembangunan untuk kesejahteraan rakyat telah diluluskan dan dilaksanakan," katanya dalam kenyataan media pada Rabu.

[LAPOR LANGSUNG] Kes SRC: Mahkamah Kekal Sabitan Dan Hukuman, Najib Dipenjara 12 Tahun, Denda RM210 Juta

Tambah Noh, UMNO Selangor turut menzahirkan rasa dukacita apabila permohonan Ahli Parlimen Pekan Itu untuk menangguhkan perbicaraan ditolak oleh mahkamah.

"Seluruh Saf kepimpinan UMNO Selangor tetap menghormati keputusan akhir yang telah diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan.

"Walau bagaimanapun, kami menzahirkan rasa dukacita apabila permohonan YB Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak untuk menangguhkan perbicaraan telah ditolak oleh Mahkamah.

"Meskipun demikian, perjuangan UMNO Dan Barisan Nasional mesti diteruskan demi kemaslahatan agama, bangsa dan tanah air," katanya Lagi.

Mahkamah Persekutuan pada Selasa mengekalkan sabitan dan hukuman penjara selama 12 tahun serta denda RM210 juta terhadap Najib berhubung penyelewengan dana SRC International sebanyak RM42 juta.