KUALA LUMPUR: Seorang pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa bahawa, Datuk Seri Najib Tun Razak disyaki menerima AS$681 juta untuk membeli undi untuk Pilihan Raya Umum (PRU13), pada 11 tahun lalu.

Saksi pendakwaan ke-49, Penguasa Kanan, Nur Aida Arifin berkata demikian semasa perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram berjumlah RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB), membabitkan bekas Perdana Menteri itu.

Beliau yang juga pegawai penyiasat skandal 1MDB ini berkata, maklumat diterima pada 4 Mei 2015, menyatakan pada tahun 2013, Najib telah menerima wang tersebut daripada syarikat yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kerajaan Saudi iaitu Tanore Finance Corporation, melalui Falcon Private Bank Singapore.

Sebelum ini, Tanore Finance dikatakan syarikat yang dikawal oleh Eric Tan Kim Loong, iaitu sekutu rapat ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low.

Nur Aida, 37, berkata, wang tersebut dimasukkan ke akaun Amprivate Banking milik Najib yang berakhir nombor 694.

Selain itu, wanita itu berkata, pada 17 Mei 2018 pula, aduan diterima menyatakan Najib sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB dan Menteri Kewangan, menerima suapan.

“Rasuah itu diperoleh melalui dana pelaburan 1MDB berjumlah RM3.217 billion, dipercayai untuk kepentingan peribadi Najib, di akaun bank sama, antara tahun 2011 hingga 2013.

“Fokus siasatan ialah di bawah seksyen 23 Akta SPRM 2009 iaitu berkenaan dengan kemasukan wang dalam jumlah yang sangat besar ke dua akaun peribadinya, berakhir nombor 694 dan 880 antara tahun 2011 dan tahun 2014,” katanya.

Beliau berkata, Najib dikatakan telah menggunakan kedudukannya bagi mendapat suapan yang mana ketika itu bertindak sebagai Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan juga Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB.

Mahkamah Tinggi sebelum ini diberitahu, Tanore Finance memindahkan AS$681 juta ke akaun peribadi AmIslamic Bank milik Najib.