Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sekali lagi ke Rantau, dan kali ini beliau menjelaskan mengenai isu melibatkan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor yang didakwa membeli berlian merah jambu.

Jelasnya, penjelasan Timbalan Menteri Kewangan Amiruddin Hamzah bahawa isterinya tidak membeli berlian itu membuktikan Rosmah menjadi mangsa fitnah.

“Semalam kita dengar pasal VVIP, batu cincin merah jambu selama ini difitnahkan tidak dibeli oleh sesiapa. Terbukti, tetapi semasa pilihan raya ini tubuh badan dan isteri jadi mangsa,” katanya semasa Program Santai Bersama Bossku di sini pada malam Selasa.

Malah katanya, pihaknya sudah memaklumkan bahawa ada resit masuk dan keluar Kastam yang membuktikan Rosmah tidak membuat pembelian.

BACA: Rosmah nafi beli barang kemas daripada syarikat Lubnan

Tambah beliau, semasa barangan berharga itu sampai di rumahnya, Rosmah hanya tengok dan hantar semula kepada penjualnya.

“Dia percaya Tony Pua, dia kata isteri saya beli berlian berjuta-juta. Padahal dia tidak tahu, Rosmah tengok sahaja dalam pameran, dia ke Singapura dan ke Hong Kong.

"Dia kebetulan duduk di rumah tinggal dua minggu dan benda tu sampai. Rosmah tengok dan dia hantar balik. Rosmah tak tahu pun,” jelas beliau lagi.

BACA: Isteri VVIP tak beli berlian merah jambu

Najib juga mengakui ramai yang percaya dengan dakwaan berkenaan dan tidak kurang pula yang tampil memohon maaf apabila menyedari perkara itu tidak benar.

“Namun, ramai orang percaya sebab apabila cerita itu keluar dalam Facebook saya tengok berderet-deret orang minta maaf.

"Ada yang kata saya tak percaya tapi kawan-kawan saya percaya. Jadi mangsa fitnah. Dahsyat,” tambahnya.

BACA: SPRM siasat semua kes termasuk cincin Rosmah - Abu Kassim