Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersama bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahatir Mohamad (kanan) melancarkan Pelan Induk Perdana Quay dan Majlis Pecah Tanah Teluk Burau.--fotoBERNAMA
LANGKAWI: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melancarkan Pelan Induk Pembangunan Perdana Quay di Teluk Burau di sini dan melahirkan harapan untuk melihat tiga juta pelancong akan mengunjungi Langkawi setiap tahun dan menyumbang RM3.8 bilion kepada ekonomi.
Beliau berkata pelancongan adalah elemen utama Program Transformasi Ekonomi bagi menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.
"Saya mahu melihat ketibaan 3 juta pelancong ke pulau ini setiap tahun, membawa RM3.8 bilion kepada ekonomi dan melahirkan sekurang-kurangnya 4,200 pekerjaan baharu kepada rakyat Malaysia," katanya semasa pelancaran itu.
Najib berkata enam tahun daripada sekarang kerajaan mahu menyambut ketibaan 36 juta pelancong ke Malaysia dan mengutip hasil RM168 bilion setahun atau lebih RM3 bilion setiap minggu.
"Ia merupakan sasaran yang diharap-harapkan, ya, dan kita memang menuju ke arah itu untuk mencapainya. Tahun ini sahaja, 28.8 juta orang akan melawat Malaysia, meningkat 12 peratus berbanding tahun lepas.
"Kita kini merupakan destinasi kedua yang kerap dikunjungi di seluruh Asia Tenggara," katanya.
Najib juga berkata sumbangan sektor pelancongan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sentiasa berkembang, dengan sumbangannya dijangka mencapai kira-kira 12.5 peratus tahun ini.
"Selama ribuan tahun, pengembara dari seluruh dunia mendapati mereka terpaut dengan keindahan alam semula jadi dan budaya yang menarik di pulau ini.
"Walaupun ia baru sahaja suku abad yang lalu, sejak (bekas perdana menteri) Tun Dr Mahathir Mohamad mengiktiraf potensi Langkawi yang begitu hebat sebagai destinasi pelancongan, ia benar-benar telah menjadi Permata Kedah.
"Hari ini, saya amat gembira untuk meneruskan transformasi itu, dengan kita menghadiri majlis pecah tanah pembangunan baharu Perdana Quay oleh Tradewinds Corporation. Apabila siap, pusat peranginan bernilai RM4bilion ini akan menjadi satu daripada yang terbaik di dunia," kata Najib.
Turut hadir isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor, Dr Mahathir dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, dan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir.
Najib berkata ia mungkin sukar untuk dibayangkan apabila melihat tapak itu hari ini, tetapi kurang daripada empat tahun lagi seorang pengunjung ke Perdana Quay akan merasai kemewahan sebenar dengan hotel lima bintang dan kedai-kedai menjual barangan mewah.
"Pelancong bukan sahaja akan tiba dalam bilangan yang besar daripada sebelum ini, mereka juga akan berbelanja lebih semasa berada di sini. Pada 2013, setiap pelancong berbelanja purata lebih daripada RM2,500 semasa dalam percutian, peningkatan 5.2 peratus daripada tahun sebelumnya.
"Perkara ini tidak berlaku begitu sahaja. Selama ini kita menumpukan usaha menarik pelancong mewah, meningkatkan tempat tarikan dan perkhidmatan kita dan meningkatkan kesalinghubungan dengan pasaran-pasaran utama.
"Petunjuk kepada pertumbuhan berterusan dalam pelancongan mewah adalah Langkawi Permata Kedah. Pada 2011, saya melancarkan Pelan Induk Pelancongan Langkawi, rancangan lima tahun untuk menjadikan pulau peranginan ini terkenal seperti Seychelles, Mauritius, dan Maldives," katanya.