Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melancarkan projek Hospital Pakar Kanak-Kanak Permata yang pertama di negara ini di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) di Cheras.

Hospital moden dan berteknologi tinggi bernilai RM606 juta yang dijangka siap pada 2017 itu akan secara komprehensif memberi fokus kepada disiplin pediatrik atau kesihatan kanak-kanak.

Najib berkata pelbagai bidang perawatan ditawarkan termasuk surgeri laparoskopik yang minimum invasi, perkhidmatan kardiologi dan kardiotoraksik, implan koklear, pemindahan sumsum tulang, perkembangan kanak-kanak, genomik pediatrik dan endokrinologi pediatrik.

Katanya pembinaan hospital itu, dan sebuah lagi Hospital Wanita dan Kanak-Kanak yang sedang dibina di Hospital Kuala Lumpur, menandakan bahawa bidang kesihatan negara sememangnya berada pada landasan yang betul untuk memasuki liga negara maju.

"Ciri-ciri mesra kanak-kanak dan ibu bapa diberi keutamaan dalam pembinaan Hospital Pakar Kanak-Kanak Permata ini, memberikan suasana yang dapat mengurangkan tekanan, keresahan dan kesakitan yang dialami kanak-kanak," katanya ketika berucap melancarkan projek pembinaan hospital itu.

Turut hadir isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, yang juga penaung Permata Negara.

Hospital itu bakal mempunyai ciri istimewa yang setara dengan hospital kanak-kanak bertaraf dunia lain, seperti bilik individu untuk pesakit yang turut dilengkapi keperluan asas untuk ibu bapa.

Ia bakal dilengkapi 250 katil yang mana 198 di bilik persendirian dan 52 katil lagi berkonsep terbuka untuk wad rawatan harian.

Hospital pakar kanak-kanak itu juga menyediakan parkir untuk 1,600 kereta.

Hospital baharu itu telah menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan Children's Hospital Los Angeles.

"Perkongsian pintar dan kerjasama ini akan memangkinkan pelbagai aktiviti termasuk pertukaran pakar, program sangkutan dan latihan sub-bidang, kerjasama dalam penyelidikan serta penarafan kualiti perkhidmatan yang diberikan," kata Najib.

Dalam pada itu, perdana menteri berkata indikator kesihatan Malaysia telah mencapai tahap hampir sama dengan negara membangun lain.

Beliau memberi contoh pada 2011, statistik menunjukkan kadar kematian kanak-kanak berumur satu tahun ke bawah adalah enam orang bagi setiap 1,000 kelahiran.

"Sementara kadar kematian bayi berumur 28 hari ke bawah adalah empat orang bagi setiap 1,000 kelahiran. Angka-angka ini setanding dengan negara membangun lain seperti Amerika Syarikat dan Eropah," katanya.

Mengenai Permata Negara, Najib berkata program itu memberi hasil amat baik kepada perkembangan kanak-kanak di negara melalui teknik pembelajaran yang cemerlang.

"Kanak-kanak Permata turut diberi pendedahan yang bagus melalui program dari dalam dan luar negara," katanya.

Pada majlis itu, Permata Negara turut menerima sumbangan berjumlah RM500,000 daripada Zeccon Sdn Bhd, Primabumi Sdn Bhd, Transmedics Sdn Bhd dan Chulia Sdn Bhd.