Sempena Hari Kesihatan Sedunia Ahad, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mahu rakyat Malaysia mengamalkan gaya hidup sihat.

Beliau berkata seorang daripada tiga rakyat dewasa di negara ini menghidap penyakit tekanan darah tinggi dan oleh itu orang ramai perlu mula mengamalkan alternatif yang sihat.

"Satu dalam tiga orang dewasa di Malaysia mengalami tekanan darah tinggi. Marilah kita renung kembali gaya hidup kita pada Hari Kesihatan Sedunia dan mula mengamalkan alternatif yang sihat," katanya dalam tweet terbaharunya.

Statistik menunjukkan purata pengambilan garam di kalangan rakyat Malaysia tahun lepas adalah 1.7 kali lebih tinggi daripada yang disyorkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Kajian itu membuat kesimpulan bahawa kira-kira 32.7 peratus -- atau seorang daripada tiga rakyat Malaysia - berumur 18 tahun dan ke atas dipercayai menghidap penyakit tekanan darah tinggi.

Hari Kesihatan Sedunia disambut pada 7 April, menandakan ulang tahun ke-65 penubuhan WHO.

Tema tahun ini ialah tekanan darah tinggi.