KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak masih lagi ditempatkan di Penjara Kajang bagi menjalani hukumannya selepas didapati bersalah menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Perkara itu dimaklumkan oleh pegawai khas bekas Perdana Menteri itu, Ahmad Lutfi Azhar ketika ditemui media di lobi Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.

Bagaimanapun, dia tidak mengetahui sama ada Ahli Parlimen Pekan itu akan ditempatkan di Penjara Sungai Buloh atau sebaliknya.

“Setakat ini beliau akan berada di (penjara) Kajang,” katanya kepada pemberita.

Ahmad Lutfi menambah, perbicaraan 1Malaysia Developlement Berhad (1MDB) Najib yang berlangsung hari ini merupakan kali pertama beliau berjumpa keluarganya sejak menjalani hukuman pada Selasa lalu.

“Pertemuan Najib bersama keluarga dalam mahkamah sahaja,” ujarnya lagi.

Najib dilihat keluar daripada Kompleks Mahkamah di sini pada pukul 4.20 petang menaiki kenderaan utiliti sukan (SUV) hitam dan sempat melambai tangan kepada penyokongnya yang berada di luar pekarangan mahkamah.

Penyokong yang dianggarkan sekitar 20 orang itu kemudian kedengaran melaungkan ‘bossku’ dan 'lawan tetap lawan’.

Najib menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah yang sama.

BACA: Kes SRC: Mahkamah kekal sabitan dan hukuman, Najib dipenjara 12 tahun, denda RM210 juta

BACA: Najib tiba di Penjara Kajang

Pada Selasa, Najib dihantar ke Penjara Kajang untuk menjalani hukuman penjara selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta ke atas Najib kerana menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.