Najib nyatakan penghargaan secara persendirian kepada Almarhum Raja Abdullah - Peguam

Najib, 72, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB di cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon, antara 24 Feb 2011 dan 19 Dis 2014. - BERNAMA
PUTRAJAYA: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu Datuk Seri Najib Razak tidak menghantar surat ucapan terima kasih selepas didakwa menerima sumbangan daripada Raja Arab Saudi, Almarhum Raja Abdullah, kerana beliau telah menyampaikan penghargaan itu secara peribadi.
Ringkasan AI
- Peguam Najib Razak memberitahu mahkamah bahawa bekas Perdana Menteri tidak menghantar surat terima kasih kepada Raja Abdullah kerana sudah menyampaikan penghargaan secara peribadi.
- Tindakan itu diambil bagi mengelak risiko surat rasmi jatuh ke tangan pihak tidak sepatutnya memandangkan sumbangan tersebut bersifat sensitif.
- Kes perbicaraan Najib berhubung 25 pertuduhan dana 1MDB bernilai RM2.3 bilion diteruskan dengan hujahan lisan di Mahkamah Tinggi.
"Datuk Seri Najib kemudiannya menyampaikan sendiri ucapan terima kasih kepada Raja Abdullah. Beliau sentiasa beradab, sopan dan menghormati pihak lain," katanya semasa prosiding berkenaan.
Terdahulu, pada Januari lalu, bekas Perdana Menteri itu memberi keterangan bahawa terdapat protokol rasmi yang perlu dipatuhi dan oleh sebab itu beliau tidak dapat membalas surat kepada Almarhum Raja Abdullah bagi menyatakan penghargaan atas sumbangan kewangan berjumlah AS$681 juta (RM2.3 bilion) yang diterima kerana ia adalah "perkara sensitif".
Hari ini merupakan hari keenam hujahan lisan pihak pembelaan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah dalam kes membabitkan 25 pertuduhan terhadap Najib berhubung dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM2.3 bilion.
Pada 6 Mei lalu, pihak pembelaan menutup kes selepas memanggil 26 saksi untuk memberi keterangan dan mahkamah menetapkan sembilan hari bermula 21 Okt bagi mendengar hujahan lisan.
Najib, 72, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB di cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon, di sini antara 24 Feb 2011 dan 19 Dis 2014.
Beliau didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Bekas Ahli Parlimen Pekan itu turut berdepan 21 pertuduhan pengubahan wang haram yang didakwa dilakukan di bank sama antara 22 Mac dan 30 Ogos 2013.
Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001, yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda hingga RM5 juta atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Najib kini menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang atas kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
Perbicaraan bersambung esok.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


