PUTRAJAYA: Pasukan pembelaan Datuk Seri Najib Tun Razak hari mengulangi penegasan hujahan mereka bahawa bekas Perdana Menteri itu tidak mempunyai pengetahuan bahawa wang dalam dua akaun bank miliknya datang dari SRC International Sdn Bhd.

Peguam Harvinderjit Singh dalam hujahannya berkata, Ahli Parlimen Pekan itu sebelum ini mempunyai kepercayaan bahawa wang tersebut merupakan sebahagian daripada sumbangan dana politik dari keluarga diraja Arab Saudi.

Beliau berkata, kira-kira RM164 juta telah dipindahkan ke akaun AmBank Najib, selepas akaun lama yang digunakan untuk tujuan menerima sumbangan dana politik ditutup pada Ogos 2013.

“Perayu (Datuk Seri Najib) percaya bahawa wang itu merupakan sumbangan Raja Arab Saudi. Hakim Bicara Mohd Nazlan menyatakan Najib sepatutnya tahu wang RM42 juta telah dimasukkan ke dalam akaunnya. Dengan hormat, itu adalah ‘error of law’.

“Keputusan Hakim Bicara yang menyamakan ‘pengetahuan’ selepas transaksi wang, dengan ‘ketidakjujuran’ adalah kesilapan. Elemen ‘mens rea' perbuatan ‘ketidakjujuran’ dalam kes pecah amanah jenayah adalah berdasarkan ‘niat’, bukan ‘pengetahuan,” tegasnya lagi.

Beliau berkata demikian di hadapan panel tiga hakim yang diketuai Datuk Abdul Karim Abdul Jalil hari ini.

Dua lagi hakim yang menganggotai panel berkenaan ialah Datuk Vazeer Alam Meera Mydin, dan Datuk Has Zanah Mehat.

Harvinder berkata, pasukan pendakwaan hanya menunjukkan ahli perniagaan dalam buruan Low Thaek Jo  atau Jho Low adalah individu yang bertanggungjawab memindahkan dana RM42 juta ke dalam akaun milik bekas Perdana Menteri itu.

Ditanya Abdul Karim mengapa Jho Low pula yang menguruskan kemasukan dana ke dalam akaun Najib, Harvinder berkata, ia berlaku sejak 2011 lagi, di mana Jho Low telah mengaturkan sumbangan daripada Raja Arab Saudi kepada Najib melalui saluran bukan diplomatik.

“Kerajaan Arab Saudi telah menyatakan sokongan mereka untuk Najib terus kekal mengetuai pentadbiran kerajaan dan Malaysia tidak akan jatuh ke tangan golongan ekstrimis.

“Raja Arab Saudi (ketika itu) berkata baginda akan memberi sokongan kepada Najib, walaupun tidak dinyatakan sokongan itu jenis apa,” katanya lagi.

Harvinder berkata, Jho Low telah memberitahu Najib bahawa akan ada sumbangan peribadi, dan itu menyebabkan Ahli Parlimen Pekan itu membuka akaun semasa dan akaun simpanan di Ambank, dan menjangkakan sekitar AS$200 juta akan memasuki akaun itu.

Berdasarkan keterangan Pengurus AmBank cawangan Raja Chulan, R Uma Devi, rekod bank menunjukkan sebanyak RM304 juta dimasukkan ke dalam akaun Najib pada 2011, RM756 juta pada 2012, dan RM1.9 bilion pada 2013.

Pada 23 Ogos, 2014, Harvinder berkata, Najib telah pun memulangkan RM2.034 bilion (AS$603 juta) dan meninggalkan baki RM164 juta, yang kemudiannya dipindah ke dalam akaun baharu beliau.

Jawatan Perdana Menteri, Penasihat Emeritus atau Menteri Kewangan tidak boleh dianggap sebagai ‘ejen’ kepada SRC International Sdn Bhd, seperti yang dinyatakan dalam pertuduhan berkaitan pecah amanah jenayah, kata pasukan pembelaan Najib di Mahkamah Rayuan Putrajaya hari ini.

Peguam Harviderjit Singh ketika membentangkan hujah rayuan berkata, Mohd Nazlan dalam alasan penghakimannya (GOJ) telah terkhilaf dalam memberi definisi sebenar kepada terma ‘ejen’ dalam kes berkenaan.

Tegasnya lagi, ia adalah berdasarkan kepada tiga hujah terdahulu pihak pembelaan iaitu: -

i) Peranan Najib sebagai Perdana Menteri bukanlah di bawah SRC International, sebaliknya, lebih atas daripada syarikat itu;

ii) Najib bukanlah prinsipal kepada SRC International, dan SRC International juga bukan prinsipal kepada Najib;

iii) Dan tindakan beliau sebagai Menteri Kewangan (ketika itu) bukan atas nama atau mewakili SRC International.

Harvinder berkata, biarpun perkara itu telah dimuktamadkan di peringkat Mahkamah Tinggi, Hakim Mohd Nazlan ketika menyentuh mengenai Seksyen 402(A) Kanun Keseksaan dalam alasan penghakimannya, memutuskan bahawa tidak ada keperluan untuk membuktikan kewujudan ‘prinsipal - ejen’, atau keperluan untuk membuktikan kewujudan prinsipal.

“Dengan hormat, tafsiran Hakim Bicara (tentang ‘ejen’) adalah terkhilaf dan tidak konsisten, bukan sahaja dengan penggunaan ayat berdasarkan subseksyen tersebut, tetapi juga kepada tafsiran lain berkaitan Kanun Keseksaan,” katanya lagi.

Dalam pertuduhan yang dibacakan sewaktu peringkat awal prosiding, Najib diletakkan sebagai seorang ‘ejen’, iaitu Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Penasihat Emeritus SRC International, dan dalam kapasiti tersebut, diamanahkan dengan penguasaan ke atas wang milik SRC International.