PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini hari ini diberitahu bahawa dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta yang digunakan oleh Datuk Seri Najib Razak diibaratkan seperti ‘kacang’ buat bekas Perdana Menteri itu.

Pendakwa raya ad hoc, Datuk V Sithambaram berkata jumlah tersebut seperti 'kacang' untuk Najib kerana beliau sebelum ini telah mengambil sumbangan sebanyak RM2.6 bilion.

Beliau berkata demikian di hadapan panel tiga hakim, diketuai oleh Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, bersama dengan Hakim Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera dalam perbicaraan rayuan Najib terhadap sabitan dan hukuman penjara atas penyalahgunaan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

“Dalam hal ini, Najib memiliki kawalan penuh terhadap syarikat (SRC International) dan setiap kali beliau memerlukan wang, beliau mengambilnya.

“Yang Arif, beliau telah mengambil RM2.6 bilion sebelum ini, (dan) ini hanya 'kacang' untuknya,” kata Sithambaram dalam penghujahannya.

Terdahulu dalam penghujahannya, Sithambaram berkata Najib mempunyai kuasa mutlak terhadap SRC International termasuk mengambil alih dan memecat pengarah memandangkan perlembagaan syarikat membenarkannya.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Pekan itu berkali-kali menegaskan bahawa dana berjumlah RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaunnya merupakan sumbangan kerajaan Arab Saudi. 

Pada 28 Julai tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib selepas mendapati beliau bersalah atas tujuh pertuduhan pecah amanah, pengubahan wang haram dan salah guna kuasa membabitkan wang berjumlah RM42 juta milik SRC International.