Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Haji Abdul Razak hari ini menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Rakan Pelaksana Projek (PDP) untuk mengurus dan melaksanakan pembinaan 706 kilometer Lebuhraya Pan Borneo Sabah.

Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah akan mengubah landskap infrastruktur dan menghubung bandar-bandar utama di Sabah dengan lebih efisien, selesa dan selamat buat 3.74 juta penduduk di negeri itu.

Perjanjian itu melibatkan tiga pihak iaitu Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Sabah dan pihak PDP.

Syarikat Borneo Highway PDP Sdn. Bhd. (BHP) telah dilantik sebagai PDP untuk pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah.

Pihak PDP akan bertindak sebagai pihak tunggal yang akan bertanggungjawab dalam mengurus dan menyelia pembangunan fasa pertama lebuhraya dengan kadar kos yang berpatutan pada tempoh pembinaan yang dipersetujui oleh Kerajaan iaitu siap sepenuhnya sebelum 31 Disember 2021.

Sepanjang tempoh perlaksanaan projek lebuhraya berkenaan, PDP akan bertanggungjawab melaksanakan projek ini berdasarkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang telah dipersetujui.

Naik taraf

Pakej pertama projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah ini melibatkan jajaran Papar – Donggongon sepanjang 11.7 kilometer yang merupakan sebahagian daripada 706 kilometer jajaran Pan Borneo Sabah Fasa 1 yang kebanyakannya akan dinaik taraf kepada empat lorong dua hala dengan piawaian R5, dijangka akan dilancarkan pada penghujung bulan April 2016.

Sebuah Jawatankuasa Eksekutif yang dipengerusikan oleh Tan Sri Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah dan dianggotai oleh wakil dari agensi-agensi Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri juga bakal dibentuk untuk menyelaraskan perlaksanaan projek.

Jawatankuasa itu bertanggungjawab untuk memantau, menyelaras dan menyelesaikan sebarang isu yang mungkin timbul dalam pelaksanaan projek ini.

Jawatankuasa itu juga akan memastikan penglibatan rakyat Sabah dalam projek berkenaan dapat dimaksimumkan.

Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah dijangka menjadi jalan penghubung strategik yang selamat serta memberi keselesaan perjalanan kepada pengguna jalan raya.

Projek itu juga disasarkan akan memberi impak bukan sahaja kepada ekonomi setempat, malah berupaya memacu Pembangunan Koridor Ekonomi di Sabah dengan akses dan rangkaian jalan raya yang lebih lengkap dan efisien.

Selain itu, projek berkenaan dijangka memberi kesan positif kepada penduduk negeri Sabah melalui peluang-peluang dalam sektor pembinaan, mewujudkan peluang pekerjaan baru dan bertindak sebagai pemangkin kepada pusat-pusat pertumbuhan baru ekonomi.

Ia sekali gus membuktikan komitmen ‘Aku Janji’ Kerajaan Persekutuan untuk rakyat Sabah.