KUALA LUMPUR: Kes perbicaraan melibatkan Datuk Seri Najib Razak jauh sekali untuk dibandingkan dengan pengalaman 22 bulan Pakatan Harapan (PH) memerintah yang menyaksikan sejumlah besar kes-kes pemimpinnya digugurkan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas.

Demikian menurut Ketua Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki, yang menegaskan, bekas Perdana Menteri itu tidak pernah berganjak malah dengan tegas mahu membersihkan namanya di mahkamah tanpa meminta kesnya dibuang atau digugurkan.

Jelasnya, Najib hanya konsisten meminta agar mendapat peluang dibicarakan secara adil.

"Sudah tentu sukar untuk menyembunyikan rasa sayu, sedih dan dukacita dengan keputusan akhir Mahkamah Persekutuan.

"Walaupun berat hati untuk menerimanya, tetapi inilah keputusan yang telah dibuat setelah Najib melaluinya dengan penuh cekal dan hemah.

"Rakyat tidak akan pernah lupa bagaimana sistem keadilan dirobek dan diperkotak-katik melalui amalan pendakwaan politik terpilih dan campur tangan jelas dalam sistem kehakiman.

"Ini seperti pengguguran kes rasuah banglo Lim Guan Eng (Pengerusi DAP), jenayah fitnah Rafizi Ramli (Timbalan Presiden PKR) terhadap Tabung Haji, penglibatan ADUN DAP yang terlibat dalam pengganas LTTE, kes penipuan dan hasutan pemimpin PH yang telah didakwa, semuanya digugurkan walaupun mahkamah sudah mula bersidang," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Bagaimanapun, Asyraf Wajdi berkata, pihaknya menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan walaupun  tetap rasa terkilan kerana mendakwa ruang untuk Najib mempertahankan diri, terutama usaha untuk mengemukakan bukti-bukti baharu dan penangguhan bagi membolehkan pasukan pembela yang baharu membuat persiapan, telah dinafikan.

"Buat keluarga Najib, bertabahlah, bersabarlah dengan dugaan yang menimpa hari ini.

"Kita mungkin kalah dan merasakan keadilan tidak memihak kepada kita hari ini, namun percayalah ada mahkamah yang lebih besar di hadapan Allah nanti.

"Apa yang penting, perjuangan mesti diteruskan sebagaimana amanat terakhir Najib kepada kita semua, demi kemaslahatan rakyat dan tanah air yang tercinta," ujarnya.