NATIONAL
Najib tidak akan berubah seandainya jadi Perdana Menteri semula - Dr Mahathir

Dr Mahathir (foto) berpendapat Datuk Seri Najib Razak tidak akan berubah jika kembali menjadi Perdana Menteri, dan mengkritik pendekatannya yang mengutamakan pemberian wang kepada rakyat, yang menurutnya boleh membawa kepada rasuah. -Gambar fail
PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Razak tidak akan berubah seandainya beliau terpilih untuk menjadi Perdana Menteri semula, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Ringkasan AI
- Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan bahawa Datuk Seri Najib Razak tidak akan berubah jika kembali menjadi Perdana Menteri, dan mengkritik pendekatannya yang mengutamakan pemberian wang kepada rakyat, yang menurutnya boleh membawa kepada rasuah.
- Dr Mahathir menegaskan bahawa Najib sepatutnya memohon maaf kepada rakyat atas kesilapan lalu, dan menyifatkan pendekatan politik wang Najib sebagai satu perubahan radikal yang menyimpang daripada asas perjuangan UMNO.
- Najib kini menjalani hukuman penjara enam tahun dan denda RM50 juta selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana SRC International, dengan hukuman asal dikurangkan oleh Lembaga Pengampunan.
"Dia masih akan berfikir bahawa cara terbaik untuk menjadi Perdana Menteri adalah dengan memberi wang kepada rakyat.
“Anda tidak mempunyai wang kemudian anda meminjam wang itu, kemudian anda boleh mencuri wang itu. Itu pada saya tidak boleh diterima,” katanya.
Malah, bekas perdana menteri dua kali itu juga berpendapat Najib seharusnya memohon maaf kepada rakyat atas tindakan yang dilakukannya.
“Saya fikir dia hanya perlu meminta maaf dan katakan saya sudah melakukan kesilapan,” katanya ketika sesi bual bicara pada majlis pelancaran buku bertajuk “Cabaran Pembangunan Ekonomi Abad 21” di Yayasan Kepimpinan Perdana, di sini, pada Isnin.
Tambah Dr Mahathir, UMNO ditubuhkan untuk menjaga tiga perkara asas iaitu agama, bangsa dan negara, namun Najib menggunakan pendekatan yang disifatkannya perubahan radikal apabila mengamalkan politik wang.
“Dia membawa objektif yang sama sekali berbeza. Apabila dia bercakap tentang wang adalah raja, sebenarnya dia mengatakan rasuah tidak mengapa dan negara ini boleh diperintah dengan amalan rasuah.
“Ia merupakan perubahan radikal daripada objektif dalam UMNO, ia membuatkan UMNO tidak lagi berada di atas perjuangan asalnya,” katanya lagi.
Dr Mahathir berkata demikian ketika ditanya oleh Datuk Seri Dr V Vaseehar Hassan selaku moderator mengenai masa depan negara seandainya Najib menjadi Perdana Menteri semula.
Najib kini menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
Mahkamah Tinggi sebelum itu menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta dan keputusan itu dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan dan Persekutuan selepas menolak rayuan Najib.
Beliau kemudiannya memfailkan petisyen bagi mendapatkan pengampunan diraja pada 2 Sept 2022.
Bagaimanapun, Lembaga Pengampunan mengurangkan hukuman penjara daripada 12 tahun kepada enam tahun manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami