Datuk Seri Najib Razak memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, beliau tidak dimaklumkan secara spesifik berkenaan pelaburan yang dibuat hasil pinjaman RM2 bilion SRC International Sdn Bhd (SRC) daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP).

Bekas Perdana Menteri itu bagaimanapun menjelaskan, beliau dimaklumkan bahawa Panel Pelaburan KWAP telah bersetuju untuk memberikan pengeluaran pinjaman kedua berkenaan secara sekali gus.

Mengikut pemahamannya, SRC telah memberikan justifikasi yang diperlukan untuk mendapatkan dana yang diperlukan dengan segera.

“Saya telah diberitahu kemudian berkenaan perkara tersebut. Saya juga telah dimaklumkan bahawa SRC telah membuat rayuan kepada KWAP untuk membenarkan supaya jumlah pinjaman tersebut dikeluarkan secara sekali gus kerana terdapat pelaburan-pelaburan yang berpotensi yang memerlukan modal segera.

“Hal ini kemudiannya telah membawa kepada satu mesyuarat antara ketua Pegawai Eksekutif KWAP, Datuk Nor Azian Mohd Noh dan Pengerusi Panel Pelaburan KWAP, Tan Sri Dr Wan Abdul Aziz Wan Abdullah bersama-sama Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar pada 22.3.2012 di Pejabat Perdana Menteri,” katanya dalam keterangan di Mahkamah Tinggi di sini, pada Rabu.

Jelasnya, mesyuarat itu adalah untuk berbincang secara mendalam tentang rayuan SRC untuk satu pengeluaran secara sekali gus.

“Saya percaya bahawa pandangan saya diminta bagi perkara tersebut. Tan Sri Irwan merupakan TKSP (Dasar) pada ketika itu dan telah diarahkan juga untuk mempertimbangkan perkara tersebut.

“Setelah perbincangan dilakukan, ianya telah direkodkan bahawa SRC perlu memberikan justifikasi untuk pengeluaran secara sekali gus kepada KWAP dengan memberikan maklumat berkenaan pelaburan-pelaburan yang berpotensi tersebut yang telah dikenalpasti dan memerlukan dana dengan segera.

“Memandangkan saiz pinjaman telah meningkat, ianya juga telah dicadangkan bahawa Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (TKSP) Dasar, Kementerian Kewangan, Datuk Mat Noor Nawi pada ketika itu untuk dilantik sebagai penasihat kepada SRC,” jelasnya.



Prosiding di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bermula 9.14 pagi.

Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib memulakan prosiding pada Selasa dengan memberitahu, anak guamnya tidak mempunyai kepentingan peribadi dalam SRC dan tidak terbabit dalam transaksi dana berjumlah RM40 juta.

Transaksi dana itu didakwa dipindahkan daripada akaun SRC kepada Gandingan Menteri Sdn Bhd (GMSB) dan seterusnya ke akaun Ihsan Perdana Sdn Bhd (IPSB) pada 12 Disember 2014.

Kata Muhammad Shafee, pembabitan Najib dalam hal membabitkan syarikat SRC mendapat kelulusan daripada KWAP, Kabinet dan Kementerian Kewangan yang hanya bertujuan menjaga kepentingan kerajaan dan negara.

Pihak pendakwa menutup kesnya pada 27 Ogos lalu dengan mengemukakan 57 saksi sepanjang 58 hari perbicaraan bermula 3 April lalu.

Sepanjang perbicaraan, pendakwa mengemukakan lebih 750 barang kes antaranya dokumen berkaitan akaun bank milik Najib, dokumen pemindahan wang, minit mesyuarat dan Blackberry Messanger mengenai transaksi wang Najib.

Najib merupakan Perdana Menteri pertama dihadap ke mahkamah atas tuduhan melakukan kesalahan itu antara 17 Ogos 2011 dan 10 Februari 2015.