Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini mengucapkan tahniah kepada Barack Obama kerana dipilih semula sebagai Presiden Amerika Syarikat.

"Dengan kemenangannya dalam pilihan raya bersejarah ini, Presiden itu mempunyai peluang yang unik untuk merealisasikan visinya untuk Amerika Syarikat," katanya dalam satu kenyataan.

Najib berharap Obama akan meneruskan usahanya memupuk persefahaman dan hormat menghormati antara Amerika dan umat Islam di seluruh dunia.

"Ramai rakyat Malaysia mengikuti dengan penuh minat kempen pilihan raya Presiden - dan sebagai sebuah negara Islam sederhana, Malaysia sentiasa bersedia membantu Amerika, kerana ia mahu lebih melibatkan diri dengan mereka yang beragama Islam," katanya.

Najib juga berkata beliau berasa bangga berjumpa dengan Presiden itu semasa penggal pertamanya dan "kami berikrar untuk membangunkan perkongsian yang semakin meningkat antara kedua buah negara".

"Hubungan ini semakin kukuh dan saya berharap ia akan berterusan pada masa depan agar kami dapat mengekalkan keamanan, kestabilan dan kemakmuran serantau kepada rakyat," katanya.