KUALA LUMPUR: Pembeli kereta terpakai dari luar negara (recond) atau tempatan kini boleh mendapatkan laporan data penuh semakan kenderaan sama ada kenderaan terbabit pernah membuat tuntutan kemalangan dengan pihak insurans atau sebaliknya.


Ringkasan AI
  • SCRUT menyediakan laporan data penuh mengenai sejarah kemalangan kenderaan, termasuk tahap kerosakan dan status 'total lost', untuk membantu pembeli kereta terpakai membuat keputusan yang lebih bijak.
  • SCRUT bekerjasama dengan pihak luar untuk mengumpul gambar-gambar kemalangan kenderaan sebagai rekod dalam data mereka, membolehkan pengguna mengetahui status kenderaan secara terperinci sebelum membeli.
  • SCRUT menegaskan bahawa data kenderaan yang mereka sediakan tidak tertakluk di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (PDPA) kerana tidak mendedahkan maklumat peribadi pemilik kenderaan, hanya keadaan kenderaan tersebut.


Perkhidmatan terbaharu itu dibangunkan syarikat semakan kondisi kenderaan, SCRUT sebagai satu inisiatif membantu pengguna mendapatkan data berkaitan termasuk tahap kerosakan akibat sesuatu kemalangan yang berlaku.

Pengasas SCRUT, Ahmad Aliff A S Ahmad Shariffuddin dan Nik Muhammad Izwan Nik Mohd Kamel dalam kenyataan bersama berkata, laporan tersebut boleh membantu pengguna sebelum mereka membuat keputusan untuk membeli kereta terpakai atau pertimbangan harga mengikut kondisi kenderaan itu.

“Terdapat tiga tahap kemalangan akan disediakan menerusi laporan itu iaitu kesan kemalangan rendah, sederhana dan tinggi termasuk status kenderaan itu pernah diisytihar sebagai ‘total lost’ atau tidak,” kata mereka dalam kenyataan itu hari ini.

Pada masa sama, mereka berkata SCRUT kini sedang bekerjasama dengan pihak luar untuk mengambil gambar-gambar kemalangan kenderaan yang berlaku di lapangan sebagai satu himpunan rekod dalam data SCRUT.

Ia sekali gus membolehkan pengguna mengetahui secara terperinci status kenderaan sebelum dibeli dan dibandingkan dengan tawaran yang dibuat oleh penjual kenderaan terpakai bagi mengelak mereka ditipu sehingga berlaku kerugian.

“Bagaimanapun, SCRUT hanya memberikan pandangan melalui penyediaan laporan tersebut tanpa masuk campur dalam urusan pembelian atau mahu mempengaruhi keputusan pengguna untuk membeli kenderaan itu,” tambah mereka.

Sementara itu, Nik Muhammad Izwan dalam temu bual bersama BERNAMA Radio hari ini memaklumkan dianggarkan sekitar 40,000 setahun kenderaan recond dibawa masuk ke Malaysia.

Namun, ujarnya transaksi kereta terpakai dianggarkan lebih tinggi iaitu kira-kira 500,000.

"Kita tak kisah mereka nak jual kereta yang pernah mengalami kemalangan tetapi masalahnya apabila kereta itu didakwa masih dalam keadaan baik, perbatuan rendah, gred rendah, (tiada) kemalangan serta (alami) banjir.

“Jadi perkara-perkara ini ia tiada ketelusan dan sebab itu kita nak wujudkan satu platform supaya orang tahu keadaan kereta tersebut agar mudah untuk penyelenggaraan,” tambahnya.

Dalam masa sama, Ahmad Aliff menegaskan data kenderaan yang dimiliki oleh mereka tidak tertakluk di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (PDPA) kerana pihaknya tidak mendedahkan maklumat peribadi pemilik kenderaan.

“Kami hanya bagi tahu keadaan kereta… ia macam nombor kenderaan di mana ia terbuka dan semua orang boleh semak kereta kita. Jadi (data) tersebut memang tidak ada isu PDPA dan bukan salah dari segi undang-undang,” tegasnya.