KUALA LUMPUR: Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) secara sinis berkata tindakan segelintir pihak yang mengkhianati parti itu tidak akan menjejaskan kepercayaan dan sokongan di peringkat akar umbi.

Ketuanya, Fuziah Salleh berkata, sebaliknya usaha untuk mengukuhkan saf dalam kalangan kepimpinan perlu terus dilakukan dalam mengembalikan mandat dan kepercayaan rakyat.

"Saya juga teruja tadi bahawa cabang Ampang mendapat anugerah cabang yang ranting paling banyak iaitu 102 ranting, tahniah kepada cabang Ampang.

"Ini menunjukkan bahawa hendak khianat, khianatlah, hendak keluar parti, keluarlah... apa kami kisah. Kami akan terus memperkasakan parti. Inilah semangat yang ditunjukkan oleh akar umbi, dan saya yakin bukan sahaja di Ampang, di Gombak dan tempat lain (seperti) Sarawak, Sabah, malah di Indera Mahkota, Pahang.

"Kita ada semangat yang sama bahawa kita akan buat yang sama dan ambil balik kerusi-yang dikhianati," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan Penggulungan Presiden pada Kongres Nasional Tahunan Keadilan ke-15 secara maya pada Ahad.

Walaupun tidak menyebut secara jelas pemimpin yang 'mengkhianati' parti, namun beberapa pemimpin PKR sebelum ini mengumumkan keluar parti.

Mereka termasuk bekas Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (Ahli Parlimen Gombak) dan bekas Naib Presiden Datuk Zuraida Kamaruddin (Ahli Parlimen Ampang), meninggalkan parti itu pada tahun lepas.

Sementara itu, Dr A Xavier Jayakumar mengumumkan peletakan jawatan sebagai Naib Presiden dan ahli PKR pada Mac lalu.