PUTRAJAYA: Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) sedang berbincang dengan peserta industri automotif untuk mengkaji semula Dasar Automotif Nasional (NAP) 2020 bagi memastikan ia kekal relevan pada masa depan.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata sejajar dengan kemajuan teknologi terdapat banyak perkembangan baharu terutama berkenaan kenderaan cekap tenaga (EEV) dan kenderaan elektrik (EV) yang perlu diberi perhatian.

"NAP itu telah dilancarkan untuk 2020 hingga 2030, sekarang ini sudah 2023, kita menghampiri separuh jalan dan seperti anda tahu banyak perkembangan baru terutamanya dalam sektor automotif yang berkenaan dengan EEV dan EV.

"Kita mendapat maklum balas daripada pihak industri dan pemegang taruh lain supaya memberi lebih perhatian kepada apa yang terkandung dalam dasar yang dilancarkan sebelum ini (untuk dikaji semula)," katanya kepada pemberita selepas melancarkan kempen Proton Rahmah 2023 di sini, pada Rabu.

Beliau berkata dalam sebarang perancangan terutama bagi jangka masa panjang iaitu 10 tahun, semua pihak berkepentingan perlu dinamik dan terbuka untuk melaksanakan perubahan yang diperlukan.

Tengku Zafrul berkata MITI akan berbincang dengan agensi berkaitan untuk menyemak semula perkara yang dibangkitkan pihak industri berhubung teknologi baharu bukan sahaja untuk peserta industri ini kekal relevan malah juga menjadi yang terbaik.

Berdasarkan NAP 2020, hala tuju industri automotif tempatan ditetapkan untuk dibangunkan dan dikembangkan sebagai hab automotif serantau bagi EEV termasuk EV dengan ciri-ciri Kenderaan Generasi Akan Datang yang berfungsi bukan sahaja dari segi pengurangan dalam pelepasan karbon dalam udara, malah keupayaan mengoptimumkan tenaga yang digunakan.

-- BERNAMA