APABILA topeng muka tidak cukup bekalan, ramai yang mengeluh.

Bila harga jualan melonjak naik pula, bukan sedikit yang merungut, bahkan ada juga yang berang kerana topeng muka harus dijual pada harga minima.

Tetapi apabila ia kini mudah didapati dengan harga yang berpatutan, ia dibuang begitu sahaja tanpa prosedur yang betul.

Astro AWANI meninjau realiti berkenaan kesedaran rakyat Malaysia dalam menguruskan pembuangan topeng muka di sekitar ibu kota Kuala Lumpur.

Bukan hanya dilemparkan di jalanan, malah ada juga mereka yang tidak bertanggungjawab meninggalkannya di troli pasar raya dan kawasan parkir kenderaan.

Tindakan itu bukan sekadar tabiat buruk, ia juga disifatkan sebagai tindakan tidak bertanggungjawab kerana meletakkan individu lain dalam bahaya serta mendedahkannya kepada jangkitan.

Ia memberi risiko besar kepada petugas pembersihan apabila terpaksa menguruskan topeng muka kotor atau mempunyai yang mempunyai banyak rembesan pernafasan.

Malah, sebelum ini Pengerusi Perikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye menyarankan pihak berwajib mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap mereka yang sengaja membuang topeng muka tanpa mengikut cara-cara yang tepat.

Tegasnya, tindakan undang-undang merupakan tindakan yang perlu dilaksanakan bagi mencegah tingkah laku yang tidak bertanggungjawab atau menghukum pesalah yang degil ini demi kepentingan kesihatan awam.

Selain itu, pembuangan topeng muka secara sembarangan juga akan memberi kesan negatif kepada alam sekitar dan boleh mengakibatkan saluran air tersumbat.

Anda hanya perlu melaksanakan lima langkah tersebut:

Langkah Pertama: Basuh tangan menggunakan sabun atau cecair pensanitasi tangan (hand sanitizer)

Langkah Kedua: Tanggalkan topeng dengan memegang tali, gelung atau telinga topeng tanpa menyentuh lapik luar atau dalam topeng.

Langkah Ketiga: Lipat topeng tanpa mendedahkan lapik 'tercemar' yang terkena bendalir dari mulut dan hidung.

Langkah Keempat: Bungkus dalam plastik, tisu atau kertas sebelum dibuang dalam tong sampah tertutup

Langkah Kelima: Basuh tangan anda atau gunakan cecair pensanitasi tangan sekali lagi.

Mungkin cerewet dan sedikit menyusahkan – tetapi janganlah sikap acuh tak acuh kita membuang topeng terpakai membahayakan orang lain.

Fikir-fikirkan sama nasib orang lain, janganlah menjadi manusia yang hanya mementingkan diri sendiri!