WASHINGTON: Bekas Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz secara rasmi menjadi Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat (AS) pada 8 Mac.

Menurut beliau, terdapat tiga bidang utama yang dirancang untuk ditingkatkan sebagai duta baharu iaitu perdagangan, pendidikan, pelancongan dan hak asasi manusia serta hubungan Malaysia-AS.

“Tanggungjawab saya sentiasa untuk merapatkan kedua-dua negara. Saya mahukan suasana hubungan yang mesra. Kami akan bekerjasama untuk meningkatkan ekonomi kedua-dua negara terutama dalam perdagangan.

"Kami (Malaysia) adalah negara perdagangan kecil manakala AS adalah negara perdagangan besar, kami mahu bahagian kami di sana," katanya kepada Sinar Daily semasa temubual eksklusif.

Nazri berkata, AS adalah rakan dagangan terbesar Malaysia selepas China dan Singapura oleh demikian beliau percaya lebih banyak perkara boleh dilakukan.

Selain itu, beliau juga ingin melihat lebih ramai pelajar datang ke negara tersebut untuk belajar, namun disebabkan yuran yang tinggi menjadikan ramai mengambil keputusan untuk belajar di tempat lain.

Nazri akan mengutarakan perkara tersebut dengan rakan sejawatannya sebagai usaha untuk mewujudkan persekitaran yang lebih sesuai.

Sementara itu, bekas Menteri Pelancongan dan Kebudayaan itu berkata, beliau akan melihat kemungkinan untuk menubuhkan pejabat Pelancongan Malaysia di Washington bagi menggalakkan promosi dan pelancongan untuk negara.

Susulan penutupan pejabat itu di New York pada Jun 2017, katanya, Washington adalah lebih strategik kerana rakyat Amerika boleh melancong ke Malaysia melalui Jepun.

Beliau akan berbincang dengan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (MOTAC), Datuk Seri Tiong King Sing mengenai perkara tersebut.

“New York mahal dan juga tidak ramai dari pantai timur pergi ke sana mencari Pelancongan Malaysia. Mungkin jika kita mempunyai pejabat di sini (Washington), kita boleh memupuk hubungan baik dengan rakyat Amerika dan galakkan mereka datang dan mengetahui lebih lanjut tentang negara kita.

“Adalah wajar mereka datang ke kedutaan untuk mencari butiran tentang negara kita dan maklumat mengenai pelancongan,” ujarnya.

Nazri berkata, terdapat sebuah lagi pejabat Tourism Malaysia di Los Angeles dan ia berjalan dengan lancar.

Dari segi hak asasi manusia pula, beliau menjelaskan, meskipun Malaysia telah turun ke tahap ketiga berikutan isu buruh kanak-kanak dan majikan menahan pasport pekerja mereka namun proses memulihkan nama serta imej Malaysia berjalan dengan baik.

Menurutnya, ia susulan syarikat utama yang terlibat mematuhi piawaian hak asasi manusia yang ditetapkan.

“Mereka telah menahan perintah pelepasan kepada syarikat tertentu dan mereka telah mematuhi keperluan.

"Ini sebenarnya disebabkan perbezaan budaya tetapi seperti yang saya katakan, kita akur, maju dengan baik," katanya. -- Sinar Harian