KUALA LUMPUR: Mesyuarat Majlis Ekonomi Kitaran Bagi Sisa Pepejal (NCEC) bersetuju mengadakan transformasi perundangan bagi sisa pepejal untuk memastikan ekonomi kitaran bagi pengurusan sisa pepejal dapat berjalan dengan lancar di seluruh negara.

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam kenyataan pada Rabu memaklumkan, perkara tersebut perlu kerana perundangan sedia ada tidak mencukupi bagi pelaksanaan ekonomi kitaran yang holistik di seluruh negara.

"Justeru, terdapat keperluan untuk menjalankan satu kajian penggubalan Rang Undang-Undang Ekonomi Kitaran ke arah pembangunan satu akta yang spesifik, menyeluruh dan meliputi peringkat pengeluaran produk sehingga produk pasca pengguna serta boleh diterima pakai oleh semua negeri," menurut KPKT.

NCEC mengadakan mesyuarat julung kalinya pada Selasa dan dipengerusikan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dan dihadiri semua wakil kementerian yang berkaitan termasuk Pihak Berkuasa Negeri, pihak industri dan pemegang taruh lain yang terlibat bagi menjayakan agenda KPKT.

Menurut KPKT, ketika ini, terdapat empat perundangan utama yang berbeza berkaitan pengurusan sisa pepejal di Malaysia iaitu Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) dan Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171).

Selari hasrat sama, KPKT berkata, NCEC turut bersetuju memperhebatkan lagi usaha bagi melonjakkan Kadar Kitar Semula Kebangsaan dengan memperkasakan peranan Pihak Berkuasa Tempatan dan sokongan daripada pihak industri dalam mempercepat peralihan ke arah ekonomi kitaran.

NCEC juga memutuskan supaya KPKT dan industri bekerjasama meneliti kaedah 'Material Flow Analysis' dalam pengiraan kadar kitar semula kebangsaan bermula dengan sektor komoditi plastik, seterusnya diperluaskan kepada komoditi lain seperti logam, kertas, tekstil dan sebagainya.

"Kedua-dua usaha ini secara tidak langsung akan menambah baik kaedah pengumpulan dan pelaporan data supaya ia lebih menyeluruh dalam menggambarkan prestasi pelaksanaan ekonomi kitaran di Malaysia," menurut kenyataan itu.

Menurut KPKT, bagi menyemarakkan aktiviti kitar semula, NCEC turut mengambil maklum keperluan mengintegrasikan pekerja tidak formal dan perusahaan kecil dan sederhana dengan penelitian lanjut mengenainya akan dilaksanakan dengan kerjasama pihak industri untuk mendapatkan data bilangan pekerja tidak formal di Malaysia.

"Kerajaan akan mengambil maklum keperluan pemberian insentif bagi menggalakkan penglibatan dan sumbangan sektor ini kepada industri kitar semula negara. Pengukuhan penglibatan kumpulan ini dijangka dapat membuka potensi peluang kerja baharu dan meningkatkan pendapatan kumpulan sasar ini," menurut KPKT.

NCEC dalam pada itu menyeru semua pihak bekerjasama memainkan peranan dan tanggungjawab menguruskan produk pasca pengguna dengan cekap dan berkesan bagi memastikan pengurusan sisa pepejal kekal efektif dan mampan.

"NCEC menyeru pihak industri terutama pengeluar produk dan 'brand owner' (pemilik jenama) mengambil tanggungjawab ke atas produk pasca pengguna keluarannya melalui pelaksanaan Peluasan Tanggungjawab Pengeluar (EPR) .

"EPR merupakan satu mekanisme penting bagi mempercepat peralihan menyeluruh kepada ekonomi kitaran. Dalam hal ini, KPKT akan mengadakan libat urus dengan pihak peruncit dan syarikat kedai serbaguna dalam masa terdekat bagi membincangkan cadangan mengenai pemansuhan penggunaan beg plastik sekali guna," menurut KPKT. - BERNAMA