ALOR SETAR: Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) bersama kerajaan Kedah telah merealisasikan pelaburan sebanyak RM7.7 bilion di negeri itu, dalam tempoh sembilan bulan tahun ini.

Dalam kenyataan di sini pada Isnin, NCIA menjelaskan pelaburan itu diterajui oleh sektor pembuatan, diikuti pelancongan, logistik, pertanian dan ekonomi digital.

Perkara itu telah diumumkan semasa Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Negeri (JPN) Kedah, yang dipengerusikan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang diadakan di Wisma Darul Aman di sini, Isnin, menurut NCIA.

Selepas mesyuarat yang membincangkan perancangan penting dalam pelaburan dan pembangunan serta kemajuan projek di Kedah, Muhammad Sanusi turut memberikan ucapan penghargaan kepada NCIA atas dedikasi memacu pertumbuhan ekonomi dan pembangunan di Kedah.

"Komitmen mereka untuk memajukan inovasi, memupuk bakat tempatan dan mempromosikan pelaburan mampan dalam keusahawanan adalah penting dalam membantu Kedah menjadi sebuah negeri maju pada masa depan," kata Muhammad Sanusi menurut kenyataan itu.

Beliau berkata pembangunan modal insan adalah bahagian penting dalam strategi NCIA bagi memacu pembangunan sosioekonomi dan meningkatkan ekosistem di Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER), khususnya untuk rakyat Kedah menerusi program Dana Usahawan (DU@NCER) dan Program Peningkatan Bakat NCER (NTEP).

Kedua-dua program tersebut menyokong sektor pelancongan dari segi pendanaan pembangunan kemudahan pelancongan dan memastikan bekalan tenaga kerja terlatih yang mantap sejak dilancarkan pada 2019, katanya.

Selepas mesyuarat itu, Muhammad Sanusi turut menyempurnakan Majlis Penyampaian Surat Pemberian (LoG) kepada syarikat di bawah inisiatif DU@NCER dan NTEP di Kedah.

Syarikat yang menerima LoG untuk DU@NCER ialah Langkawi Skywalk Sdn Bhd, yang akan membangunkan 'The World's Longest Free-standing Cantilever Glass Skywalk', yang dijangka sepanjang 38 meter dengan ketinggian 645 meter dari aras laut.

Dua penerima LoG yang lain ialah pengendali resort Hangouts Urban + Eco Langkawi iaitu SMS Retreat Company Sdn Bhd, yang bercadang menambah kapasiti tawaran bilik segmen keluarga; serta Chenang Prima Resort Sdn Bhd (syarikat hospitaliti) yang akan mengembangkan jenama Royale melalui perkongsian pintar dengan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA).

PFCE Integrated Plant and Project Sdn Bhd (PFCE), pemaju projek pembangunan pelancongan bersepadu baharu di Bandar Kuah, Langkawi dianugerahkan LoG untuk program NTEP.

Sementara itu Ketua Eksekutif NCIA, Mohamad Haris Kader Sultan berkata memupuk bakat tempatan bukan hanya mengenai pemerolehan kemahiran malah juga menyemai minda keusahawanan yang menyumbang secara proaktif kepada kerancakan ekonomi Kedah dan NCER secara keseluruhan.

"Melabur dalam bakat dan memupuk keusahawanan ialah langkah strategik menyediakan tenaga kerja tempatan dan ia bukan sahaja untuk mengisi peranan pekerjaan tetapi menjadi pencipta, inovator dan menjalankan perniagaan sendiri," katanya.

Beliau berkata sejak 2019, program pembangunan modal insan NCIA telah membantu lebih 19,000 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di Kedah dan seterunya menghasilkan lebih 2,300 pekerjaan baharu.

Tumpuan juga diberikan untuk meningkatkan ekosistem NCER dengan menyediakan Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (TVET) kepada 6,248 peserta, katanya.

"Sebahagian besar peserta ini, iaitqaXSu sebanyak 1,826 peserta telah menerima latihan berkemahiran tinggi, manakala 4,422 peserta telah dilatih pada tahap separuh mahir.

"Dedikasi NCIA untuk memudahkan inisiatif transformatif ini menunjukkan komitmennya untuk memacu pertumbuhan dan pembangunan ekonomi, akhirnya merapatkan jurang pembangunan serantau dan menyumbang kepada kemajuan ekonomi di Kedah," katanya.

Katanya lagi menerusi usaha strategik tersebut dan tumpuan kepada pembangunan mampan, Kedah dan NCER berada pada kedudukan yang baik untuk menjadi negeri yang makmur dan berkembang maju.

-- BERNAMA