NCSM sasar 5,000 individu di Lembah Klang jalani saringan awal percuma tangani penyakit pembunuh senyap

Dr Ashley berharap syarikat-syarikat akan tampil membantu NCSM meningkatkan kesihatan komuniti melalui saringan awal di Lembah Klang dan kawasan lain. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) menyasarkan saringan percuma terhadap 5,000 orang di Lembah Klang bagi mengesan penyakit tidak berjangkit seperti penyakit jantung, buah pinggang dan diabetes, sebelum akhir tahun ini.
Ringkasan AI
- Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) menyasarkan saringan percuma terhadap 5,000 orang di Lembah Klang bagi mengesan penyakit tidak berjangkit seperti penyakit jantung, buah pinggang, dan diabetes sebelum akhir tahun ini.
- NCSM melaksanakan saringan percuma melalui inisiatif Saring@Komuniti bagi membawa perkhidmatan kesihatan penting terus ke komuniti, termasuk ibu tunggal dan penduduk PPR.
- Dr Ashley menekankan pentingnya saringan awal untuk penyakit cardio-renal-metabolic (CRM) kerana ia dapat membantu meningkatkan kesedaran individu tentang kesihatan mereka dan mencegah komplikasi serius.
NCSM melaksanakan saringan percuma melalui inisiatif Saring@Komuniti yang dilancarkan pada Ogos lepas, dengan kerjasama sektor swasta bagi membawa perkhidmatan kesihatan penting terus ke komuniti, termasuk ibu tunggal dan penduduk pangsapuri Program Perumahan Rakyat (PPR).
Dr Ashley yang juga pakar perubatan keluarga berkata, program saringan yang lazimnya dilakukan pada hujung minggu itu dibuat untuk mengesan penyakit lebih awal, meningkatkan kesedaran, dan membolehkan individu membuat keputusan lebih baik tentang kesihatan mereka.
Malaysia antara negara yang tertinggi di Asia Tenggar mencatatkan kadar penyakit jantung, buah pinggang dan diabetes.
Hingga 72 peratus kematian dalam kalangan lelaki dan wanita Malaysia disebabkan oleh penyakit tidak berjangkit seperti CRM.
Dr Ashley berharap syarikat-syarikat akan tampil membantu NCSM meningkatkan kesihatan komuniti melalui saringan awal di Lembah Klang dan kawasan lain.
"Penyakit CRM yang sering dirujuk sebagai 'trio senyap', saling berkait rapat, iaitu apabila satu organ terganggu maka organ lain turut terjejas.
"Ia sering tidak dikesan sehingga komplikasi serius berlaku. Namun, penyakit kronik boleh diurus dan distabilkan dengan melambatkan perkembangan sekiranya dikesan awal, termasuk penyakit buah pinggang," katanya.
Merujuk data Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr Ashley berkata, jumlah kes diabetes pada peringkat global meningkat daripada 200 juta pada 1990 kepada 800 juta pada 2020.
"Penyakit CRM boleh dicegah. Jika dikesan awal, kita boleh sama ada membalikkan keadaan atau mengurangkan risiko komplikasi," katanya.
Bagaimanapun, ramai rakyat Malaysia masih tidak menyedari risiko mereka kerana gejala lazimnya tidak muncul sehingga penyakit bertada pada tahap akhir.
"Satu daripada dua rakyat Malaysia mempunyai berat berlebihan atau obes, dan jumlah ini meningkat sebanyak 22 peratus sejak 2011. Berat badan berlebihan sememangnya membawa risiko untuk menghidap penyakit CRM," katanya.
Dr Ashley menekankan bahawa pencegahan awal harus terus menjadi keutamaan meskipun terdapat kemajuan dalam pengujian, rawatan dan farmakoterapi.
"Saringan dan ujian darah boleh menunjukkan bacaan tekanan darah, paras gula dan kolesterol, profil penuh buah pinggang dan fungsi buah pinggang, fungsi hati, indeks jisim badan (BMI) dan indeks kreatinin urin," katanya.
Kadar kes CRM yang tinggi di negara ini juga berpunca daripada diet tinggi kalori, makanan masin, minuman manis, merokok, pengambilan alkohol, gaya hidup tidak aktif, serta kurang kesedaran.
"Ramai orang hanya mendapatkan bantuan perubatan apabila simptom menjadi teruk, pada masa itu penyakit sudah berada pada tahap akhir. Saringan awal dan pengesanan awal boleh menyelamatkan nyawa," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


