Negara-negara ASEAN mengakui usaha untuk menangani dadah adalah amat sukar dan memerlukan bukan sahaja kenyataan-kenyataan keras tetapi tindakan yang berkesan, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri berkata sehubungan itu sasaran untuk melihat rantau ini bebas daripada ancaman dadah pada tahun ini merupakan suatu "fatamorgana" atau ilusi.

Beliau berkata ASEAN perlu mengakui sasaran yang dirangka dalam Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Tentang Dadah (AMMD) pada 2008 itu telah gagal dicapai.

"Realiti yang harus dihadapi adalah soal dadah (sasaran bebas dadah) tidak mempunyai tempoh tertentu ditetapkan dan perlu mengambil langkah jangka panjang.

"Kami (mesyuarat AMMD 2015) telah mengambil keputusan, hasrat untuk mencapai sifar dadah tahun ini adalah suatu fatamorgana atau ilusi yang mustahil untuk dicapai," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan AMMD ke-4 di sini hari ini.

Beliau berkata semua kenyataan keras daripada setiap negara ASEAN perlu disusuli dengan tindakan dan Sekretariat ASEAN perlu memantau tindakan yang dijalankan.

Ahmad Zahid berkata walaupun kehendak politik daripada negara-negara ASEAN untuk melihat rantau ini bebas daripada dadah amat kuat, tetapi ia masih tidak berjaya dengan sindiket-sindiket terus memenuhi permintaan pasaran.

Semua pihak sama ada polis antinarkotik dan agensi penguatkuasaan lain telah melakukan yang terbaik tetapi masih tidak cukup baik untuk menyelesaikan permasalahan itu, katanya.

"Negara-negara ASEAN perlu 'berpijak di bumi yang nyata' bahawa masalah ini perlu dilihat dengan lebih serius," katanya dan menambah, pihaknya dapat melihat keakraban negara-negara ASEAN untuk memerangi sindiket pengedaran dadah antarabangsa.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, mesyuarat mengucapkan tahniah kepada negara-negara Lembah Mekong yang mengambil inisiatif meningkatkan taraf pembangunan di kawasan terbabit dan membebaskan penduduk daripada cengkaman kemiskinan serta penanaman pokok popi.

Negara-negara Lembah Mekong terdiri daripada Myanmar, Laos, Thailand dan Kemboja.

Ahmad Zahid berkata langkah menyediakan tanaman alternatif kepada petani-petani di Segi Tiga Emas itu daripada menanam pokok popi kepada kenaf atau jut juga akan membantu usaha menangani masalah dadah di rantau ini.

Usaha negara-negara Lembah Mekong mengambil langkah proaktif dengan mengubah persepsi dan menjadikan kawasan itu sebagai lembah pembangunan amat dialu-alukan, katanya.