KUALA LUMPUR: Negara kini berdepan gelombang ketiga COVID-19 dengan kemunculan varian baharu akibat daripada kelonggaran perintah kawalan pergerakan (PKP) bulan lalu.

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) merangkap Komander Greater Klang Valley Special Task Force Datuk Dr Chong Chee Kheong berkata trend peningkatan COVID-19 kini adalah kesan kumulatif daripada aktiviti yang berlaku sepanjang tempoh itu.

"Peningkatan kes ketika ini disebabkan kesan apa yang berlaku pada bulan lalu, termasuk tempoh inkubasi virus dalam komuniti.

"Kelonggaran PKP 3.0 serta sektor ekonomi untuk membantu rakyat, serta hari perayaan yang menyaksikan terdapat pergerakan rentas negeri membawa kepada peningkatan kes dalam tempoh dua hingga empat minggu ini," kata Dr Chong.

Beliau berkata demikian pada sidang media secara maya pagi Jumaat.

Sidang itu turut disertai Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia Datuk Shafiq Abdullah dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor Datuk Dr Sha’ari Ngadiman.

Tambah Dr Chong, peningkatan juga disebabkan oleh penularan varian Delta.

"Lebih banyak varian Delta juga menyebabkan peningkatan kes yang tinggi.

"Paling utama ketika ini adalah untuk memastikan kurangnya impak terhadap sistem kesihatan awam kita.

"Dua bulan lepas, kes di Lembah Klang menyumbang 60 hingga 70 peratus kes di Malaysia, sekarang turun 50-60 peratus.

"Jadi peningkatan juga berlaku di beberapa negeri ketika ini," kata Dr Chong lagi.

Bagaimanapun, KKM telah menambah kapasiti katil serta peralatan perubatan termasuk bekalan oksigen serta hospital medan dalam memastikan setiap pesakit dapat dirawat, jelas Dr Chong.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal), Datuk Dr Hishamshah Mohd Ibrahim memaklumkan sebanyak 409 daripada 1,668 penjujukan genom virus COVID-19 mengesan jenis varisan yang membimbangkan (VOC).

Tambahnya, jangkitan utama di Lembah Klang disebabkan varian Delta itu akan mengambil masa untuk melandaikan jumlah kes harian kerana kadar kebolehjangkitannya yang berbeza.

"Unjuran kenapa kes belum menurun, ini unjuran Institut Kesihatan Nasional (NIH), kita lihat sekarang masih meningkat kes harian kerana berdepan varian baharu.

"Jika tahun lepas dari varian Sivagangga, kita akan ada peralihan varian dengan mutasi baharu.

"Varian dominan daripada penjujukan genom IMR dan makmal lain mendapati dominan adalah varian Delta, kadar kebolehjangkitan berbeza,"jelas Dr Hishamshah.

Tambahnya, kes akan memuncak sehingga negara berjaya mencapai 80 peratus imunisasi kelompok menjelang 31 Oktober depan.

"Jadi cara melandaikan sedikit berbeza dan mengambil masa.

"Varian pertama adalah Delta, dengan vaksinasi dalam carta warna biru adalah anggarkan, jika vaksinasi kita menjelang 31 Oktober telah mencapai 80 peratus, kes akan memuncak pada akhir bulan ini.

"Perkara sama berlaku di Labuan dan Sarawak, walaupun kadar vaksinasi telah meningkat, kes baharu menurun, lebih kita tekankan kadar kemasukan ke dalam wad ICU, hospital dan juga kadar kematian.

"Ia menunjukkan penurunan ketara di Labuan dan Sarawak. Kalau kita dapat buat perkara serupa di Semenanjung terutama di kawasan panas di Lembah Klang dengan peningkatan kadar vaksinasi, kita dapat melihat penurunan," jelasnya lagi.