JOHOR BAHRU: Negara luar memandang tinggi dan memuliakan Malaysia bukan hanya kerana ekonomi negara melonjak, malah kerana kestabilan politik dan perpaduan rakyatnya.

Berucap ketika merasmikan Sambutan Minggu Perpaduan (SMP) Peringkat Kebangsaan 2024 pada Sabtu, Perdana Menteri berkata, itu respons diterima beliau dalam sesi lawatan ke beberapa negara sebelum ini.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia sebuah negara hebat dan perpaduan itu merupakan salah satu faktor negara ini dipandang tinggi negara lain.

“Jadi kita jadikan sambutan Minggu Perpaduan ini, untuk tabik hormat kepada rakyat Malaysia yang cintakan perpaduan dan keamanan.

“Mudah-mudahan semangat ini dapat kita pertahan dan generasi muda bekerja lebih supaya perpaduan dalam kalangan generasi muda lebih baik daripada generasi kami sekarang ini.

“Tetapi saya tidak lupa untuk sekali lagi tabik hormat, bukan kepada Ketua Polis Negara, tapi kepada rakyat Malaysia, dan kasih kami kepada anak-anak muda supaya menjadi generasi penerus yang bermakna,” katanya.

Turut hadir pada majlis di Johor Bahru itu ialah Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang dan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Dalam pada itu, Anwar berkata beliau tidak mahu Kementerian Perpaduan menggunakan perkataan ‘toleransi’ selepas ini.

Sebaliknya, beliau mahu kementerian itu menggunakan ayat “semangat perpaduan ke arah kasih sayang, saling hormat-menghormati sesama insan”.

“Ini lebih kuat daripada toleransi. Ini yang sebut mengenali satu sama lain, meraikan perbezaan dan ia menajdi kekuatan.

“Ini kerana perbezaan yang akhirnya dinilai oleh Tuhan itu bukan warna kulitnya, bukan rupa parasnya, bukan pangkat dan keturunanya, bukan kekayaannya.

“Kemuliaan dirinya, keyakinannya, nilai dan moral dan akhlaknya. Ini yang ditentukan,” katanya dalam ucapan tersebut.