Kemungkinan besar, apabila Yang Dipertuan Agong kembali sihat dan boleh berjumpa dengan Anwar dalam masa beberapa hari lagi, kita akan mengetahui sama ada Muhyiddin akan terus kekal sebagai Perdana Menteri Malaysia atau tempat beliau akan digantikan oleh Anwar Ibrahim.
Namun apa yang rakyat Malaysia perlu sedar, terutama dari kalangan yang tidak mempunyai pekerjaan atau sedang menghadapi masalah kos sara hidup yang serius bahawa pertukaran perdana menteri tidak bermakna keadaan kehidupan mereka akan berubah.
Masalah pengangguran, atau masalah gaji yang tidak naik dan tidak mencukupi, dan juga masalah kos sara hidup yang tinggi telah wujud semenjak zaman Najib Razak sebagai Perdana Menteri, malah bahkan sebelum itu lagi. Kita semua sedar dan tahu bahawa walaupun jawatan Perdana Menteri sudah dua kali bertukar ganti selepas Najib Razak, namun masalah tersebut masih belum dapat diselesaikan. Bahkan kini telah menjadi semakin teruk, terutama sekali bagi mereka yang berkerja di dalam sektor yang terjejas akibat masalah Covid 19.
Oleh kerana itu, mungkin hanya di kalangan penyokong tegar Anwar sahaja yang teruja dengan kenyataan beliau. Ramai daripada kalangan rakyat biasa yang lain besar kemungkinan tidak berminat dengan isu peralihan jawatan Perdana Menteri kerana mereka sedar bahawa ia hanya akan menguntungkan ahli-ahli politik tertentu beserta teman-teman rapat mereka dan penyokong-penyokong mereka sahaja, sedangkan rakyat marhaen akan tetap berada dalam keadaan yang susah dan tersepit.
Sebenarnya punca utama masalah ekonomi kita bukan daripada individu yang memegang jawatan Perdana Menteri. Namun demikian, kita sememangnya memerlukan seorang Perdana Menteri yang berintegriti dan bersih daripada amalan rasuah kerana Perdana Menteri yang korup dan menyonglap duit rakyat berbilion-bilion Ringgit akan membuatkan keadaan bertambah teruk. Namun hakikatnya ialah walaupun duit berbilion yang disonglap dapat dicari semula atau dipulangkan, masalah ekonomi rakyat tetap tidak akan berubah dan masalah pengangguran juga tidak akan dapat diselesaikan.
Ini kerana punca utama masalah ekonomi kita ialah sistem yang salah kerana berpaksikan kepada industri hutang dan amalan Riba. Di dalam sistem ini sektor perbankan akan mencipta matawang dengan banyak setiap kali ia memberi hutang kepada peminjam dari sektor awam, swasta dan isi rumah. Akibatnya ketiga-tiga sektor dalam ekonomi iaitu sektor kerajaan, sektor korporat dan juga isi rumah terjebak dengan hutang yang banyak. Oleh kerana itulah sektor kerajaan dan swasta keberatan untuk mengambil pekerja baru dan keberatan untuk menaikkan kadar upah. Pada masa yang sama penciptaan matawang baru yang banyak oleh sektor perbankan menghasilkan suasana di mana nilai matawang akan jatuh dalam jangka panjang, sekaligus mengakibatkan kos barangan dan perkhidmatan menjadi tinggi berbanding dengan pendapatan yang diterima.
Selagi sistem ini tidak berubah, selagi itulah masalah ekonomi kita tidak akan dapat diselesaikan walaupun individu yang memegang jawatan Perdana Menteri berubah-ubah. Ini terbukti apabila kita melihat keadaan di negara lain di mana masalah kos sara hidup juga amat serius di negara-negara membangun walaupun amalan korupsi adalah minima di sana.
Oleh kerana itu, apa yang perlu diusahakan oleh kita semua ialah mengubah sistem ekonomi kita supaya industri hutang tidak lagi menjadi paksi kepada sistem ekonomi. Dengan cara itu tahap hutang di dalam masyarakat juga akan berkurangan dan masalah kos sara hidup akan dapat diselesaikan. Institusi-institusi yang membantu orang (bukan yang mencekik orang) seperti waqf, Baitul mal dan lain-lain akan dapat berkembang dan dengan itu keadaan kehidupan masyarakat akan menjadi lebih baik. Walaupun ada yang merasakan ini adalah satu suasana yang mustahil akan berlaku, namun hakikatnya ia telah berlaku dan wujud di zaman Rasulullah SAW, di zaman para sahabat dan juga di zaman Khilafah Abbasiah serta Uthmaniah.
Perlu diingatkan bahawa di zaman itu, nilai masyarakat adalah berbeza berbanding sekarang. Hasil daripada tarbiah Rasulullah SAW dan para sahabat, masyarakat Islam pada masa itu sangat fokus dalam mencari keredhaan Allah dengan cara menginfaqkan atau mendermakan harta mereka untuk membantu sesama rakyat terutama dari kalangan yang miskin. Bahkan pada masa itu industri hutang langsung tidak wujud kerana diharamkan dan dilihat keji. Hanya orang yang betul-betul dalam kesempitan hidup akan berhutang.
Ini berbeza dengan keadaan sekarang kerana rata-rata kita dapat melihat ahli masyarakat berlumba-lumba untuk hidup dalam keadaan yang mewah dan mengejar kekayaan material walaupun dengan cara berhutang. Ramai yang lupa dengan pesanan untuk mengukur baju di badan sendiri. Akibatnya ramai yang terjebak dengan hutang yang banyak dan tidak mampu untuk berderma dan menginfaqkan harta di jalan Allah. Jadi tidak hairanlah aset institusi Riba di negara kita berjumlah hampir RM4 ribu bilion berbanding aset sektor Waqf yang hanya berjumlah lebih kurang RM10 bilion.
Sebagai rumusan, apa yang diperlukan ialah usaha dari kalangan kita semua untuk merubah nilai masyarakat dan selepas itu merubah sistem ekonomi yang diamalkan supaya betul-betul selari dengan ajaran Islam, demi mencapai kesejahteraan hidup masyarakat dalam jangka panjang. Sesungguhnya kita tidak akan dapat menyekat ahli politik daripada berebut kuasa sesama mereka kerana itu adalah tabiat tabie atau semula jadi mereka yang terjun dalam arena politik.
Namun bagi yang tidak terlibat secara langsung dalam arena politik, terutama sekali dari kalangan golongan pendakwah, kita tidak perlu terikut-ikut sangat dengan gelagat ahli-ahli politik. Sebaliknya kita perlu terus fokus kepada usaha yang sangat penting iaitu dakwah dan tarbiah untuk mengubah nilai masyarakat dan sistem yang diamalkan.
* Penulis merupakan profesor di Fakulti Perniagaan dan Perakaunan, Universiti Malaya.
** Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.