NATIONAL
Negeri Sembilan pertahan cadangan pelupusan anjing liar

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, menegaskan bahawa pelupusan dilakukan mengikut peraturan yang ditetapkan dalam Akta Haiwan. - Gambar fail
SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan mempertahankan keputusan melaksanakan pelupusan anjing liar yang dimulakan di kawasan majoriti Melayu demi menyelesaikan maslahat umum.
Ringkasan AI
- Kerajaan Negeri Sembilan mempertahankan keputusan melaksanakan pelupusan anjing liar di kawasan majoriti Melayu demi keselamatan awam. Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, menegaskan bahawa pelaksanaan ini mengikut peraturan yang ditetapkan oleh Akta Haiwan.
- Cadangan pelupusan anjing liar ini mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Negeri Sembilan, tetapi menerima kecaman daripada beberapa NGO dan pencinta haiwan. Mereka menggesa kerajaan negeri untuk melaksanakan program Tangkap, Mandul dan Lepaskan (TNR) yang lebih beretika.
- Aminuddin menyatakan bahawa kes serangan anjing liar semakin membimbangkan dan menjejaskan keselamatan penduduk. Beliau juga menekankan bahawa NGO dan pencinta haiwan perlu memainkan peranan dalam program TNR dan tidak mengharapkan sepenuhnya kepada kerajaan.
“Kita sebenarnya ada proses yang perlu dilakukan, bukan lupus secara sembarangan. Ada Akta Haiwan yang harus dihormati.
“Pelaksanaannya pun bukan dilakukan oleh saya, nak tembak beramai-ramai guna pistol, bukan itu caranya. Kita serahkan kepada pihak berwajib untuk menyelesaikannya mengikut peraturan yang ditetapkan,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Negeri pada Rabu.
Cadangan Aminuddin sebelum ini agar dilaksanakan pelupusan anjing liar di kawasan majoriti Melayu mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Negeri Sembilan yang bersidang minggu lalu.
Bagaimanapun, cadangan itu menerima kecaman daripada beberapa badan bukan kerajaan (NGO) dan pencinta haiwan, antaranya Pertubuhan Bersatu Negeri Sembilan yang menyifatkan kenyataan Aminuddin sebagai tidak sensitif dan bercanggah dengan prinsip kemanusiaan.
Pengerusinya, Datuk Seri S. Surash menggesa kerajaan negeri menghentikan segera rancangan pelupusan itu, sebaliknya bekerjasama dengan NGO kebajikan haiwan untuk melaksanakan program Tangkap, Mandul dan Lepaskan (TNR) yang telah terbukti berkesan dan beretika.
Aminuddin berkata, kes serangan anjing liar agak membimbangkan termasuk kes terbaharu yang berlaku pada Rabu membabitkan seorang remaja digigit haiwan berkenaan di Port Dickson.
“Isu pada masa ini ialah anjing liar terlalu banyak berkeliaran. Ini hanya berlaku dalam negara; kalau lihat di bandar-bandar utama seperti Jepun dan China, tidak nampak anjing liar berkeliaran.
“Jadi saya harap mendapat kerjasama daripada semua. Mereka yang memelihara, uruskan dengan betul. Jangan masa sayang dibawa peluk tidur, tapi bila dah tak suka dibuang, kemudian biar kita pula ambil tanggungjawab tersebut.
“Ini tidak boleh kerana akhirnya akan memberi kesan kepada masyarakat sehingga berlaku kemalangan akibat dikejar anjing liar,” ujarnya.
Katanya, isu tersebut kini turut merebak ke kawasan kampung hingga penduduk risau untuk membela ayam dan itik kerana bimbang diserang anjing liar.
“Dalam soal ini kita perlu saling hormat-menghormati barulah hidup harmoni. Nak bela anjing boleh tapi jaga elok-elok, jangan soal lupus diserahkan pada kerajaan.
“Bila isu orang kena gigit anjing, di mana NGO, pencinta haiwan? Banyak kes berlaku tapi saya tengok tak ada pun mereka datang tengok. Kita kena adil, banyak aduan diterima yang perlu diambil tindakan,” katanya.
Pada masa sama, katanya, NGO dan pencinta haiwan juga perlu memainkan peranan dalam program TNR dengan tidak mengharapkan sepenuhnya kepada kerajaan jika merasakan kaedah itu berkesan menangani pembiakan haiwan liar tersebut. - Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami