Skip to main content

Malaysia

NEKMAT teliti pelaburan RM300,000 guna AI dalam ternakan udang putih

SERDANG, 30 Ogos - Pengurus Besar Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) Azrin Shah Ismail bercakap ketika sesi temu bual bersama BERNAMA sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 di Laman Padi, Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) hari ini. - fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Azrin ketika sesi temu bual sempena MAHA 2026 di Laman Padi, MAEPS hari ini. - Gambar Bernama
Advertisement

SERDANG: Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) sedang meneliti pelaburan kira-kira RM300,000 bagi menggunakan kecerdasan buatan (AI) dalam projek ternakan udang putihnya di Badong, Pekan (Pahang).

Pengurus besarnya Azrin Shah Ismail berkata penggunaan teknologi itu akan membolehkan kualiti air, paras oksigen, suhu serta beberapa parameter lain dipantau menerusi penderia dan aplikasi telefon pintar.

Teknologi berkenaan juga dapat menentukan jumlah makanan yang diperlukan dengan lebih tepat berdasarkan data ternakan.

“Kita boleh mendapat data yang lebih tepat, sekali gus mengelakkan pembaziran makanan dan mengurangkan tekanan terhadap udang.

“Sekiranya bekalan elektrik terputus, paras oksigen menurun atau mana-mana parameter berubah, sistem akan memberikan amaran kepada kita,” katanya kepada Bernama pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 di sini, hari ini.

Azrin Shah berkata operasi projek itu ketika ini dilaksanakan secara separa manual dan NEKMAT berhasrat beralih kepada sistem lebih automatik.

Beliau berkata NEKMAT juga sedang membina sembilan kolam baharu di kawasan tambahan seluas kira-kira 15 ekar, melibatkan pelaburan RM5 juta.

Empat kolam sedia ada menghasilkan 58 tan udang putih bernilai RM1.4 juta pada 2025, manakala satu kolam yang dituai kira-kira dua bulan lepas menghasilkan lapan tan bernilai RM180,000.

Azrin Shah berkata projek berkenaan menggunakan makanan udang yang dikeluarkan dalam negara serta tenaga kerja tempatan dari kawasan Pekan, Pahang dan sekitarnya.

Beliau berharap penggunaan teknologi dapat menarik lebih ramai golongan muda dan graduan menyertai industri akuakultur kerana sistem pemantauan automatik mampu menyediakan persekitaran kerja lebih moden dan teratur.

NEKMAT juga terbuka untuk bekerjasama dengan universiti serta institusi berkaitan bagi menambah baik teknologi dan sistem pengurusan projek berkenaan.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement