MALAYSIA

Nelayan baharu masih berpeluang mohon lesen tangkap ikan - Mohamad

Bernama 10/11/2025 | 14:30 MYT
Mohamad menjawab soalan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (MUDA-Muar) mengenai proses mendapatkan lesen untuk nelayan kecil pada sesi Kamar Khas di Dewan Rakyat, hari ini. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Peluang bagi rakyat Malaysia yang mahu mencari rezeki di laut sebagai nelayan baharu tetap terbuka walaupun pembekuan lesen penangkapan ikan masih berkuat kuasa sejak 1983 bagi melindungi sumber laut negara.


Ringkasan AI
  • Pembekuan lesen penangkapan ikan sejak 1983 masih berkuat kuasa untuk melindungi sumber laut negara, tetapi peluang bagi nelayan baharu tetap terbuka di bawah Program Pemutihan Lesen Zon A.
  • Menteri Pertanian, Datuk Seri Mohamad Sabu, menyatakan bahawa lesen tidak aktif lebih daripada tiga tahun akan dibatalkan dan kuota akan diagihkan semula kepada nelayan baharu yang layak, membolehkan mereka beroperasi secara sah tanpa menambah tekanan terhadap sumber ikan.
  • Sistem e-Lesen diperkenalkan untuk memudahkan urusan nelayan dengan kemudahan kaunter khas di pejabat perikanan seluruh negara, membolehkan nelayan membuat permohonan dan pembaharuan lesen dengan lebih cepat serta menurunkan kadar kompaun kesalahan ringan kepada RM100 bagi menunjukkan keprihatinan terhadap golongan nelayan kecil.


Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata di bawah Program Pemutihan Lesen Zon A, lesen sedia ada yang tidak aktif melebihi tiga tahun akan dibatalkan dan kuota berkenaan diagihkan semula kepada nelayan baharu yang layak.

"Pendekatan ini membolehkan mereka terus beroperasi secara sah tanpa menambah tekanan kepada sumber ikan yang semakin terhad," katanya menerusi catatan di Facebook hari ini.

Beliau menjawab soalan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (MUDA-Muar) mengenai proses mendapatkan lesen untuk nelayan kecil pada sesi Kamar Khas di Dewan Rakyat, hari ini.

Mohamad berkata sistem e-Lesen turut diperkenalkan bagi memudahkan urusan nelayan dengan kemudahan kaunter khas di pejabat perikanan seluruh negara.

"Melalui sistem ini, nelayan dapat membuat permohonan dan pembaharuan lesen dengan lebih cepat, serta tidak tercicir daripada bantuan kerajaan seperti subsidi minyak diesel, bantuan musim tengkujuh dan program pembangunan komuniti perikanan," katanya.

Beliau berkata kerajaan turut menurunkan kadar kompaun kesalahan ringan daripada RM500 kepada RM100, sebagai tanda keprihatinan terhadap golongan nelayan kecil yang berdepan kesempitan hidup.

"Semua langkah ini bukan untuk menyusahkan nelayan, tetapi untuk menjamin kelestarian laut dan memastikan rezeki mereka terus berpanjangan," katanya.

-- BERNAMA


#Facebook #subsidi #Dewan Rakyat #nelayan