ISKANDAR PUTERI: Sekumpulan empat nelayan tempatan mendakwa bot penguat kuasa Singapura melanggar dan merosakkan jaring udang di kawasan perairan Selat Tebrau, berhampiran Jambatan Link Kedua, pada Isnin.

Nelayan, Faizan Wahid, 42, berkata, kejadian pada kira-kira jam 7 pagi itu berlaku apabila dia bersama tiga lagi nelayan sedang memasang jaring untuk menangkap udang.

"Tujuh jaring dipasang di tempat biasa kami mencari rezeki dan kawasan itu memang dalam kawasan perairan Malaysia. Tiba-tiba bot penguat kuasa Singapura datang ke arah jaring. Habis rosak semua jaring dilanggar bot.

"Saya ada tanya mengapa langgar jaring, anggota penguat kuasa itu hanya menjawab mereka tidak perasan. Jawapan itu bagi saya agak mengelirukan kerana jaring tersebut masih berada di atas permukaan air," katanya pada sidang akhbar di Kampung Pendas pada Rabu.

Faizan memberitahu laporan polis telah dibuat dan menganggarkan kerugian akibat jaring yang rosak hampir RM1,000.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar, Pandak Ahmad kesal dengan tindakan pihak berkuasa Singapura apabila melanggar jaring nelayan tempatan.

"Apa yang dikesalkan, kes membabitkan penguat kuasa Singapura dan nelayan tempatan bukan pertama kali berlaku. Sudah beberapa kali nelayan berdepan kejadian sama sebelum ini.

"Pada Oktober tahun lepas, nelayan tempatan didakwa dihalau penguat kuasa Singapura dan kejadian itu tular di media sosial," katanya.

Dalam pada itu, Pandak berharap pihak berkuasa seperti Pasukan Polis Marin dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia mengambil tindakan sewajarnya termasuk meningkatkan penguatkuasaan di kawasan perairan negara.

"Dianggarkan seramai 100 nelayan dari Kampung Pendas, Tanjung Adang dan Tanjung Kupang menangkap ikan dan menjaring udang di kawasan Selat Tebrau.

"Saya mencadangkan agar Pulau Merambong di sempadan perairan negara dan Singapura dijadikan pangkalan Maritim Malaysia sekali gus dapat menjaga sempadan negara agar tidak sewenang-wenang diceroboh pihak luar," ujarnya. - Sinar Harian