KANGAR: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) melalui Zon Maritim Kuala Perlis menahan sebuah bot nelayan Kelas C bersama dua lelaki tempatan dan dua lelaki warga Thailand dipercayai cuba menyeludup 8,000 liter diesel dengan nilai RM16,000 di perairan Kuala Perlis semalam.

Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Hashim Mat Zain berkata penahanan itu dibuat hasil maklumat risikan dan intipan yang dilakukan Unit Risik Zon Maritim Kuala Perlis (ZMKP) dalam beberapa minggu lepas.

"Bot nelayan Kelas C itu ditahan pada kedudukan 2.3 batu nautika dari barat muara Kuala Perlis ketika bot ronda Maritim Malaysia dalam operasi rutin OP AMAN.

"Ketika pemeriksaan dilakukan, bot tersebut dikendalikan oleh seorang tekong warga tempatan dan tiga awak-awak terdiri daripada seorang warga tempatan dan dua warga Thailand yang berumur dalam lingkungan 39 hingga 46 tahun," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata hasil pemeriksaan lanjut mendapati, bot itu telah diubah suai dengan menambah ruang tangki minyak yang dipercayai cuba diseludup ke negara jiran.

Mohd Hashim berkata anggaran nilai keseluruhan rampasan termasuk sebuah bot, enjin dan minyak diesel - RM216,000.

"Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana mengubah suai tangki minyak tambahan tanpa kebenaran dan melanggar syarat sah lesen, Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana cubaan menyeludup keluar minyak diesel bersubsidi," katanya.

Katanya kes tersebut juga disiasat mengikut Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998, Seksyen 239 kerana penggunaan dan pemilikan peranti komunikasi yang tidak mengikut piawaian.

Beliau berkata bot bersama semua kru serta hasil tangkapan dibawa masuk ke jeti Zon Maritim Kuala Perlis sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.

-- BERNAMA