DUNGUN: Nelayan di Dungun, Terengganu merayu kepada pihak berkuasa mengatasi segera isu muara Sungai Dungun cetek yang menjadi perangkap maut.

Masalah yang berulang sejak 15 tahun lalu itu mengundang bahaya serta mengakibatkan kerugian besar kepada nelayan di kawasan berkenaan.

Menurut nelayan Mohd Zahimi Azlan, keadaan muara sungai cetek serta benting pasir juga menyukarkan nelayan yang terpaksa menunggu keadaan air pasang untuk memasuki muara.

"Kawasan muara di sini terlalu cetek jadi kami terpaksa menunggu keadaan air pasang baru boleh masuk muara," katanya.

Bagi nelayan Zulkifli Deraman pula, masalah ini telah lama dihadapi para nelayan di sini.

"Apabila keadaan gelombang besar memang takut dan apabila keadaan macam itu memang tidak boleh masuk sebab air surut, situasi ini sudah lama berlaku," katanya.

Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Sura, Wan Hapandi Wan Nik ketika dihubungi berkata, kerja mendalamkan muara sungai akan dilaksanakan selepas musim tengkujuh.

Menurut Wan Hapandi, pihaknya melalui Ahli Parlimen Dungun juga sedang berusaha mendapatkan kelulusan kerajaan pusat bagi pembinaan sistem tebatan ombak bernilai RM250 juta bagi menyelesaikan isu berkenaan.