IPOH: Seorang nelayan berusia 27 tahun di Kerian kerugian hampir RM300,000 selepas menjadi mangsa penipuan ‘love scam’ dan skim pelaburan mata wang kripto yang tidak wujud.

Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian menerima laporan polis berhubung kejadian itu daripada lelaki berkenaan pada jam 4.45 petang semalam.

Katanya, mangsa memaklumkan, dia menjalinkan hubungan cinta dengan seorang wanita yang mula dikenalinya menerusi aplikasi WeChat sejak November tahun lalu.

Susulan itu, suspek menawarkan kepada mangsa untuk menyertai pelaburan mata wang kripto dengan menghantar pautan pada aplikasi WeChat serta menjanjikan pulangan sebanyak RM200,000 jika mangsa membuat pelaburan RM30,000, pada Januari lalu.

“Akibat telah jatuh cinta dan terpedaya, mangsa mula membuat pelaburan melalui aplikasi mata wang kripto yang diberikan oleh suspek tersebut.

“Bermula 6 Mac  sehingga 15 Julai lalu, mangsa telah membuat 99 kali transaksi pindahan wang secara dalam talian ke dalam 21 akaun bank melibatkan jumlah kerugian sebanyak RM284,850.

“Wang tersebut merupakan hasil simpanan mangsa, serta pinjaman daripada ahl keluarga, rakan dan majikannya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Yusri berkata, walaupun kehabisan wang, suspek didakwa tetap meminta mangsa untuk terus melabur sebelum lelaki itu meminta untuk dipulangkan semula semua wangnya.

“Namun, suspek didakwa memberi pelbagai alasan dan tidak lagi membalas pesanan mangsa di WeChat. Kemudian, mangsa merasakan telah ditipu dan datang ke balai polis untuk membuat laporan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. Siasatan kes ini masih diteruskan,”  ujarnya lagi.

Justeru, Mohd Yusri mengingatkan masyarakat agar tidak mudah terpedaya dengan love scam dan pelbagai program pelaburan yang tidak wujud.