Seramai 20 orang nelayan di Kuala Paka, Terengganu terpaksa menanggung kerugian ribuan ringgit selepas mendakwa bubu dan unjam mereka sengaja dirosakkan oleh aktiviti bot pukat tunda.

Menurut mereka kehadiran bot pukat tunda di perairan Paka menjejaskan mata pencarian nelayan tempatan yang hanya bergantung hidup dengan hasil laut.

Susulan itu, para nelayan terpaksa menanggung kerugian antara RM5,000 ke RM10,000 setiap tahun berikutan unjam dan bubu mereka yang rosak .

Kebanyakan bot yang dikatakan berpangkalan di Kuantan, Pahang dan Johor merupakan bot nelayan tempatan yang menggajikan nelayan asing untuk menjalankan kerja - kerja menangkap ikan di perairan negara.

Salah seorang nelayan, Zakaria Embong berkata jika dahulu mereka mampu memperoleh keuntungan sebanyak RM2,000 sebulan namun, sejak masalah itu timbul keuntungan yang diperoleh merosot kepada hanya RM200 sahaja bagi setiap bulan.

Katanya lagi keadaan yang berlarutan lebih sepuluh tahun itu menyebabkan nelayan terpaksa menanggung kos membaiki yang mencecah RM200 bagi setiap bubu dan unjam.

Sementara itu Pengerusi Penyelaras UMNO DUN Paka, Che Ku Hamzah Che Ku Deraman berkata pihaknya akan mencari alternatif bagi mengatasi perkara tersebut.

"Awalnya saya akan rujuk kepada Jabatan Perikanan Daerah dulu sebelum kita ambil tindakan yang sewajarnya. Kita juga mengharapkan supaya pihak nelayan dapat bersabarlah dan jangan terlalu mengikut emosi" , katanya kepada Astro AWANI.

Jelasnya lagi pihaknya juga akan mencari jalan penyelesaian bagi membantu meringankan beban nelayan yang mengalami kerugian bagi menampung kos untuk membina semula unjam dan bubu yang baru.