Skip to main content

Malaysia

Nenek, cucu saudara maut nahas motosikal dalam perjalanan ke sekolah

Warga emas dan cucu saudaranya maut dalam kemalangan di Jalan Padang Sanai, Kuala Nerang, hari ini.
Dalam nahas kira-kira jam 6.45 pagi itu, Che Rahmah Abdul Karim, 76, dan cucu saudaranya, Auni Afiqah Hadi, 3, yang membonceng di bahagian hadapan motosikal, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. -Foto PDRM

KUALA NERANG: Perjalanan seorang warga emas menghantar dua cucu saudara ke sekolah berakhir tragedi apabila dua daripada mereka maut dalam kemalangan di Jalan Padang Sanai, di sini pada Selasa.

Dalam nahas kira-kira jam 6.45 pagi itu, Che Rahmah Abdul Karim, 76, dan cucu saudaranya, Auni Afiqah Hadi, 3, yang membonceng di bahagian hadapan motosikal, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Advertisement

Seorang lagi cucu saudara lelaki berusia sembilan tahun yang membonceng di bahagian belakang mengalami kecederaan dan dikejarkan ke Hospital Kuala Nerang untuk rawatan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintendan Affzanisham Mohammad Sham, berkata kemalangan itu melibatkan sebuah motosikal dan kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Avanza.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati MPV tersebut sedang bergerak dari arah Kampung Lubuk Labi menghala ke Ladang Seraya, Padang Sanai.

“Setiba di lokasi kejadian, motosikal yang dinaiki tiga mangsa dari arah bertentangan dipercayai cuba memotong sebuah kenderaan lain sebelum memasuki laluan bertentangan.

“Tindakan itu menyebabkan pemandu MPV gagal mengelak lalu bertembung dengan motosikal mangsa,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Menurut beliau, akibat perlanggaran, penunggang motosikal dan pembonceng hadapan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Beliau menambah, pembonceng belakang dibawa ke Hospital Kuala Nerang untuk rawatan, manakala pemandu MPV berusia 35 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk proses bedah siasat,” katanya.

Must Watch Video