Skip to main content

Malaysia

Nenek, cucu terselamat dalam kebakaran rumah

71638601046_kebakaranrumah.jpg
LANGKAWI: Seorang nenek berusia 60 tahun bersama cucunya tinggal sehelai sepinggang apabila rumah mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Perana, Jalan Padang Mat Sirat di sini, pada Sabtu.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan berkaitan kejadian pada pukul 11.48 pagi.

Sehubungan itu, beliau berkata, tiga jentera bersama 21 anggota dari Balai Bomba Dan Penyelamat Langkawi telah digerakkan ke lokasi kebakaran.

“Setibanya di lokasi, api sedang marak dibahagian tingkat atas rumah.

“Api merebak dengan cepat kerana struktur rumah dibina dengan kayu pada bahagian atas dan api berjaya dikawal sepuluh minit kemudian,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.

Jelas Mohamadul Ehsan, tiada kemalangan jiwa dilaporkan kerana kedua-dua mangsa sempat berlari keluar.

Punca dan nilai kemusnahan masih dalam siasatan.



Advertisement

Must Watch Video