Nenek dan cucu rentung, 9 rumah terbakar di Bentong

Noraniza Kamsani
Mei 30, 2018 02:14 MYT
Keadaan satu daripada sembilan buah rumah yang terlibat dalam kebakaran di Kampung Baru Cina Repas, Bentong, awal pagi ini. Foto ihsan JBPM.
Seorang nenek dan cucunya dijumpai rentung, manakala seorang lagi anggota keluarga mereka cedera dalam kebakaran yang melibatkan sembilan buah rumah di Kampung Baru Cina Repas, Bentong awal pagi tadi.
Dalam kejadian jam 1.22 pagi itu, mangsa Lay Sam Kiw, 78 tahun, dan cucu lelakinya yang juga orang kurang upaya (OKU), Chong Way Leong, 23 tahun, ditemui rentung oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Bentong.
Seorang lagi anggota keluarga mereka yang cedera ialah Chong Tien Sang, 56 tahun.
Timbalan Pengarah Jabatan Bomba Dan Penyelamat Pahang Mohd Sani Harul berkata, anggota JBPM yang tiba di lokasi kejadian mendapati kesemua rumah berada dalam keadaan terlalu rapat dan padat.
"Operasi bomba bertindak mencari dan menyelamat mangsa yang terperangkap dan memadamkan kebakaran menggunakan pili bomba dan air tangki daripada jentera.
"Mangsa pertama iaitu wanita warga emas berkenaan ditemui pada jam 2.13 pagi manakala lelaki OKU ditemui jam 2.46 pagi. Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia dalam keadaan rentung," katanya.
Mayat diserahkan kepada pihak polis sebelum dihantar ke Hospital Bentong untuk tujuan bedah siasat.
"Kerja-kerja pemadaman sudah tamat sepenuhnya pagi ini," katanya.
Menurut Mohd Sani, sebanyak empat buat rumah musnah 100 peratus manakala selebihnya musnah antara lima dan 20 peratus.
Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenalpasti punca kebakaran. Jumlah kerugian akibat kebakaran juga masih dalam siasatan.
#API #Bentong #bomba #Kampung Baru Cina Repas #kebakaran #mangsa #Mohd Sani Harul #OKU #rentung #warga emas