MALAYSIA
Nga tuntut pihak tuduh MyKiosk 'gajah putih' mohon maaf
KUALA LUMPUR: Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming menuntut pihak yang membuat dakwaan bahawa program MyKiosk ialah projek "gajah putih" untuk tampil memohon maaf.
Beliau berkata siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mendapati tiada unsur rasuah atau salah guna kuasa dalam pelaksanaan program itu jelas membuktikan bahawa usaha warga Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam melaksanakan dasar kerajaan tidak sewajarnya menerima pelbagai tuduhan tidak berasas.
"KPKT mengambil inisiatif sendiri mempelawa SPRM datang untuk siasat. SPRM tidak datang, kita pergi kepada SPRM beri semua dokumen untuk disiasat. SPRM telah keluarkan kenyataan bahawa tiada salah guna kuasa, tiada unsur jenayah dan rasuah.
"Maka, sesiapa yang baling batu jangan simpan tangan. Saya menuntut bagi pihak warga KPKT yang bekerja bertungkus lumus membantu rakyat, mereka yang buat tohmahan dan fitnah, sila mohon maaf kerana kita rasa pengorbanan penjawat awam ini wajib dihargai dan bukan menerima lemparan pelbagai tuduhan tidak berasas," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.Beliau menjawab soalan Onn Abu Bakar (PH-Batu Pahat) yang ingin tahu statistik terkini pelaksanaan program MyKiosk 2.0 dan status projek naik taraf Stadium Majlis Perbandaran Batu Pahat termasuk skop kerja, kos terlibat serta jangkaan tarikh siap.
Nga berkata pelaksanaan MyKiosk menunjukkan pencapaian memberangsangkan dengan pengisian MyKiosk 1.0 telah mencapai 91.75 peratus manakala MyKiosk 2.0 berjaya mencapai tahap 86.78 peratus, sekali gus berjaya mengubah nasib 7,243 keluarga penjaja dan peniaga kecil di seluruh negara.
Beliau turut berkongsi contoh kejayaan penjaja MyKiosk antaranya seorang peniaga ayam gunting di Dataran Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) telah mencatatkan pendapatan sebanyak RM30,000 serta seorang peniaga makanan dan air soya berjaya menggandakan hasil pendapatannya kepada RM18,000 sebulan.
"Inilah hasil kejayaan, bukti reformasi untuk membantu penjaja. Semua ini menunjukkan bahawa MyKiosk bukan sahaja menyediakan kemudahan fizikal, tetapi turut menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi rakyat melalui peluang perniagaan yang mampan," katanya.
Bagaimanapun, Nga mengakui terdapat sedikit kelemahan dari segi pelaksanaan program itu sebelum ini dan beliau menyatakan KPKT kini memperkenalkan sistem penilaian "lampu isyarat" bagi memantau prestasi pihak berkuasa tempatan (PBT).
Beliau berkata menerusi sistem itu, mana-mana PBT yang menerima penilaian lampu isyarat hijau dikategorikan sebagai prestasi cemerlang dan akan menerima pertambahan peruntukan, manakala PBT berstatus lampu kuning peruntukannya akan dikaji semula.
"Jika lampu merah, peruntukan akan dibatalkan, malahan Yang Dipertua (PBT) akan dipanggil oleh Jabatan Kerajaan Tempatan untuk menerima teguran serta memberikan penjelasan punca kegagalan melaksanakan dasar kerajaan.
"Kita akan terus memantau untuk pastikan kesejahteraan rakyat, kebajikan penjaja, keselesaan pengguna, kelestarian alam sekitar semua dirangkumi di bawah kerangka Ekonomi MADANI," katanya.
Sementara itu, menjawab mengenai projek menaik taraf Stadium Majlis Perbandaran Batu Pahat, Nga berkata projek berkenaan dijangka bermula pada awal tahun depan dengan jangkaan siap pada penghujung tahun yang sama.
Beliau berkata projek yang melibatkan kos keseluruhan sebanyak RM3.5 juta itu kini masih pada peringkat proses lantikan perunding.
"Skop kerja melibatkan menaik taraf sistem saliran air padang, permukaan padang serta pembinaan balapan," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami