NGO gesa tubuh panel bebas siasat Sungai Perak kebiruan

Greenpeace menggesa kerajaan menubuhkan panel siasatan bebas bagi menyiasat secara menyeluruh insiden Sungai Perak bertukar kebiruan. - Gambar Facebook Jejak Air Tawar
IPOH: Pertubuhan Alam Sekitar Greenpeace Malaysia (Greenpeace) menggesa kerajaan menubuhkan panel siasatan bebas bagi menyiasat secara menyeluruh insiden Sungai Perak bertukar kebiruan selain menilai tahap pematuhan syarikat terbabit terhadap syarat Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA).
Greenpeace dalam kenyataan pada Jumaat menyatakan laporan awal menunjukkan bacaan radiasi di kawasan sisa mencecah 13 kali ganda melebihi had yang dibenarkan, sekali gus menimbulkan persoalan besar tentang keselamatan alam sekitar, ketelusan pengurusan sisa serta keberkesanan penguatkuasaan regulatori.
"Penggantungan operasi adalah langkah yang wajar namun itu hanya permulaan. Kami menggesa siasatan bebas dan telus, kerajaan perlu menubuhkan panel pakar bebas tanpa pengaruh korporat untuk menyiasat punca kimia yang menyebabkan sungai bertukar biru.
"Selain sumber radiasi dan kegagalan pengurusan sisa, tahap pematuhan syarikat terhadap EIA (Penilaian Impak Alam Sekitar) serta maklumat ini perlu didedahkan demi keselamatan orang awam," menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu pertubuhan alam sekitar itu juga mahu perlindungan komuniti dan pemulihan segera iaitu kerajaan perlu menjalankan pemantauan kualiti air dan ekosistem di kawasan hilir, menyediakan sumber air selamat jika terdapat risiko terhadap kesihatan serta memastikan syarikat menanggung kos penuh kerja pembersihan di bawah prinsip "pencemar membayar".
"Mengutamakan hak komuniti dan kelestarian alam apabila penduduk setempat yang bergantung kepada sungai perlu diberikan maklumat jelas, perlindungan kesihatan dan ruang untuk terlibat dalam proses pemulihan dan keputusan," menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Ketua Jurukempen Greenpeace Malaysia, Heng Kiah Chun dalam kenyataan sama berkata, pengembangan industri perlombongan tidak boleh dilakukan dengan mengorbankan sungai, kesihatan awam dan masa depan generasi akan datang.
"Insiden seperti ini menegaskan kepentingan untuk mengiktiraf dan melaksanakan Deklarasi ASEAN mengenai hak alam sekitar bukan sekadar sebagai prinsip panduan, tetapi sebagai undang-undang yang boleh dikuatkuasakan di Malaysia," katanya.
Semalam, Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak, Datuk Dr Mohammad Ezanni Mat Salleh dilaporkan berkata, satu daripada tiga syarikat perlombongan disyaki terbabit dalam insiden pencemaran yang berlaku di kawasan hulu Sungai Perak di Kampung Sungai Papan, Gerik bulan lepas sehingga menyebabkan air bertukar kebiruan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


