PASIR MAS: Sebuah badan bukan kerajaan (NGO) menampilkan kelainan dengan menggunakan Multipurpose Rescue Vehicle (MRV) buatan sendiri bernilai RM1.6 juta untuk menyelamat serta mengagihkan bantuan kepada mangsa banjir di Kampung Bungor di sini.

Presiden Pertubuhan Kebajikan Malay, Chinese, Indian and Others (MCIO) Datuk Shaiful Nizam Abdullah berkata kenderaan MRV itu berkemampuan untuk melaksanakan pelbagai fungsi antaranya mengangkut barangan, menjana elektrik dan menapis air mentah untuk dijadikan air minuman.

"Dalam keadaan banjir, lori biasa tidak boleh masuk ke kawasan yang paras airnya dalam. MRV ini boleh sebab ia direka supaya dapat menempuh air sedalam 2.4 meter (m) (lapan kaki).

"Kenderaan pacuan empat roda berketinggian 4.5 m (15 kaki) itu membolehkan MCIO meningkatkan keupayaan membantu di kawasan bencana di seluruh Semenanjung," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas mengagihkan bekalan makanan serta menyantuni kira-kira 50 mangsa daripada 11 keluarga yang terperangkap di Kampung Bungor di sini semalam.

Program itu turut melibatkan kerjasama Pejabat Pembangunan Negeri Kelantan, Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kelantan.

Sementara itu, Pengarah Pembangunan Negeri Kelantan ICU JPM Kelantan Jasri Kasim berkata pihaknya melihat penggunaan MRV dalam misi banjir adalah praktikal dan boleh dikembangkan di Kelantan memandangkan negeri berkenaan sering terkesan akibat bencana alam itu.

"Kami akan menilai keperluan MRV untuk meningkatkan kesiapsiagaan dan melengkapi aset sedia ada di Kelantan," katanya.

-- BERNAMA