Pertubuhan masyarakat sivil, kesatuan sekerja dan pergerakan demokrasi Malaysia menggesa pemerintahan tentera di Thailand dihentikan serta demokrasi dikembalikan kepada negara itu.

Dalam satu kenyataan media pada Isnin, pertubuhan-pertubuhan yang antaranya terdiri daripada Suara Rakyat Malaysia (SUARAM), Persatuan Sahabat Wanita Selangor, Tenaganita, Kumpulan Sokongan Demokrasi Thailand di Malaysia dan beberapa kesatuan lain menyuarakan kebimbangan dominasi pihak tentera di Thailand yang dilihat dapat ‘membunuh’ demokrasi di negara itu.

“Pemerintahan tentera dan penindasan bukanlah cara untuk menyelesaikan kebuntuan krisis politik di Thailand, sebaliknya bakal memberi kesan negatif,” kata kenyataan itu.

Pada 20 Mei lalu, undang-undang tentera telah diumumkan berkuatkuasa dimana seterusnya pada 22 Mei pihak tentera telah mengambil alih pemerintahan, menyebabkan perlembagaan Thailand digantung.

“Ini telah memberi kuasa tanpa had kepada pihak tentera untuk mecabul hak asasi. Di bawah undang-undang tentera, pihak tentera boleh menyekat sebarang aktiviti, menapis media, mengharamkan mesyuarat dan perhimpunan, menggeledah dan menyita semua barang serta menahan seseorang tanpa pendakwaan selama tujuh hari,” tambahnya lagi.

Menurut kenyataan tersebut, kebebasan akhbar terjejas teruk selepas rejim ketenteraan mengambil alih stesen televisyen dan radio, penapisan media cetak serta ancaman untuk menutup semua media sosial.

Katanya terdapat penangkapan beramai-ramai di kalangan masyarakat sivil Thai serta parti politik. Antara yang ditangkap adalah ahli kesatuan sekerja, pemimpin organisasi massa, pemimpin parti politik daripada kedua-dua parti politik yang bertanding, wartawan, ahli akademik, bekas tahanan politik serta ahli keluarga ahli politik yang ditahan.

protes, thai, thailand

“Disebabkan kebanyakkan daripada tahanan ini ditahan di lokasi yang tidak didedahkan serta tidak dapat berhubung dengan ahli keluarga mahupun peguam, ini menimbulkan kebimbangan mengenai keadaan mereka di tempat itu,” menurut kenyataan tersebut.

Dalam kenyataan itu, beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu telah menggesa kerajaan-kerajaan ASEAN agar mendesak rejim ketenteraan Thailand menamatkan rampasan kuasa di negara gajah putih itu.

Selain itu mereka turut meminta supaya undang-undang tentera ditamatkan secepat mungkin serta kerajaan yang telah dipilih diberi mandat semula.

Pada 22 Mei lalu, Panglima Angkatan Tentera Thailand mengumumkan kepada rakyat negara itu bahawa tindakan tentera mengambil alih pentadbiran negara dilakukan setelah berbulan-bulan kejadian huru-hara akibat ketidakstabilan politik.

protes, thai, thailand

Pemimpin tentera yang telah menguatkuasakan undang-undang tentera itu berkata, rampasan kuasa itu diperlukan demi mengelakkan konflik politik yang kian parah.

Langkah tersebut dilakukan setelah pihak tentera yang menjadi perantara perbincangan antara kedua-dua parti yang bersengketa gagal meraih sebarang kesepakatan untuk menghentikan protes besaran-besaran di sekitar jalan-jalan di Bangkok.

Krisis politik berlarutan di Thailand apabila wujud kelompok elit yang berpangkalan di Bangkok bersama pengikutnya menentang keluarga mantan Perdana Menteri Thaksin Shinawatra.

Thaksin, seorang hartawan merangkap ahli politik yang popular telah disingkirkan daripada pemerintahan dalam rampasan kuasa pada tahun 2006.

Namun begitu, beliau masih lagi mendapat sokongan daripada warga Thailand yang berada di pedalaman utara Thailand.

Adiknya, Yingluck Shinawatra pula telah diarahkan untuk meletak jawatan sebagai perdana menteri setelah keputusan kontroversi mahkamah pada awal bulan April.

Sejak 1932, Thailand telah menyaksikan 12 rampasan kuasa tentera termasuk yang terbaru ini.