SHAH ALAM: Polis Selangor tidak dapat mendedahkan butiran lanjut berhubung perkembangan siasatan insiden khianat serta ugutan jenayah membabitkan aktivis, S Chandrasegaran atau dikenali sebagai 'Cikgu Chandra' di Taman Kinrara, Puchong baru-baru ini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, ini kerana siasatan kes berkenaan masih dijalankan.
Advertisement
Menurutnya, setakat ini beberapa petunjuk positif telah diperoleh hasil siasatan yang dilakukan pihak polis.
"Menerusi perkembangan yang saya ditaklimatkan, terdapat beberapa petunjuk positif bagi kedua-dua kes tersebut.
"Namun saya tidak boleh kongsikan butiran lanjut kerana siasatan masih berlangsung,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini pada Rabu.
Tambahnya, polis akan memaklumkan perkembangan siasatan dari semasa ke semasa.
Menurut Shazeli, pihaknya membuka kertas siasatan sejurus laporan diterima dan tindakan awal telah diambil bagi mengenal pasti pihak yang terlibat.
"Polis memberi jaminan siasatan dijalankan secara telus dan adil kepada semua pihak tanpa sebarang unsur penganiayaan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan orang ramai supaya menghentikan sebarang spekulasi serta provokasi terutama yang menyentuh isu agama, kaum dan institusi diraja (3R).
Katanya, keadaan semasa yang hangat membabitkan isu agama dan kaum perlu dikawal bagi mengelakkan situasi menjadi lebih buruk.
"Saya menyeru masyarakat bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengawal dan meredakan situasi ini.
"Rakan media juga diharap dapat memainkan peranan dalam membantu mengendurkan dan menurunkan suhu kehangatan isu-isu 3R,” katanya.
Tegas beliau, polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang cuba memainkan atau menyemarakkan isu berkaitan 3R.
Sebelum ini dilaporkan polis telah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 427, Seksyen 506 dan Seksyen 435 Kanun Keseksaan berhubung dua laporan berasingan diterima berkaitan insiden menimpa aktivis berkenaan.
Terdahulu, seorang aktivis mendakwa menjadi sasaran serangan berulang kali termasuk kejadian terbaharu di kediamannya di Taman Kinrara pada Selasa.
Mangsa, S. Chandrasegaran, 47, yang lebih dikenali sebagai ‘Cikgu Chandra’ mendakwa kejadian tersebut bukan kali pertama berlaku kerana sebelum ini dia juga pernah diserang individu tidak dikenali pada tahun 2022.
Mengulas kejadian terbaharu, Chandra berkata, kawalan keselamatan di kediamannya kini diperketatkan selepas rumahnya diserang sekumpulan lelaki bertopeng dan bersenjatakan parang.
Menurutnya, kejadian berlaku kira-kira jam 3.30 petang ketika dia berada di rumah bersama dua anaknya.
Katanya, dua lelaki tidak dikenali dipercayai membuka pagar rumah sebelum bertindak memecahkan cermin belakang kereta Perodua Viva miliknya serta merosakkan jeriji besi di bahagian hadapan kediaman.
Tambahnya, gangguan terhadap keluarganya tidak berakhir di situ apabila sekumpulan individu dipercayai datang semula ke rumahnya kira-kira jam 3.20 pagi.
Ujarnya, individu itu dipercayai bertindak membaling objek disyaki bom petrol ke arah kediamannya mengakibatkan sebuah kenderaan jenis Suzuki Ertiga miliknya musnah sepenuhnya akibat terbakar.
Kejadian turut menyebabkan dua lagi kenderaan iaitu Perodua Viva dan sebuah lagi kereta turut mengalami kerosakan akibat kebakaran tersebut. - Sinar Harian