Khidmat pengangkutan awam perlu dinaikkan taraf dan bukan kos tambang yang semakin ditingkatkan, menurut sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan pengangkutan.

TRANSIT(The Association for the Improvement of Mass Transit) berkata demikian dalam reaksi kepada laporan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) akan mengkaji tuntutan pengusaha syarikat bas menaikkan tambang sebanyak 30 peratus.

Pengerusi SPAD Tan Sri Syed Hamid Syed Jaafar Albar berkata kerajaan selama ini membenarkan pengusaha syarikat bas mengenakan caj tambahan sebanyak 10 peratus apabila tiba musim perayaan bagi membantu syarikat berkenaan.

Sebelum itu, Persatuan Pengusaha Bas Seluruh Malaysia (PMBOA) telah meminta supaya kerajaan menaikkan tambang bas bagi mengelakkan syarikat terbabit mengalami kerugian sehingga terpaksa menamatkan operasi.

Bagaimanapun, TRANSIT berkata pengguna tidak harus dibebankan dengan peningkatan kos semasa musim tertentu.

“Tiada hak untuk pengusaha bas dan badan penguatkuasaan untuk menaikkan tambang. Formula sekarang yang mengikutkan harga siling mempunyai masalah kerana ia menganggap semua perjalanan membabitkan kos yang sama,” kata kenyataan TRANSIT.

TRANSIT berkata ia tidak setuju dengan harga tambang yang dinaikkan sedangkan pengusaha didakwa sering tidak bersaing secara adil dan tidak menaikkan taraf khidmat.

Harga tambang juga tidak patut dinaikkan kerana agensi-agensi pengangkutan didakwa belum mengatasi masalah kekurangan laluan rangkaian bas yang lebih cekap.

“Kita lihat bahawa tambang semakin meningkat sepanjang dekad yang lalu, tetapi langkah-langkah yang dicadangkan sebelum ini masih tidak dilaksanakan oleh pihak berkuasa kita,” kata TRANSIT, yang menjelaskan langkah-langkah ini termasuk penguatkuasaan anti-kompetitif yang lebih tegas, rangkaian laluan yang lebih cekap dan pengenalan pelesenan berasaskan prestasi oleh SPAD.